Anda mungkin tidak biasa mendengar nama Richard Kemp, tetapi beliau sedang dalam proses untuk membuka kedai buku keempatnya dalam tempoh kurang dari tiga tahun . Ia merupakan sebahagian daripada projeknya untuk membuktikan bahawa kedai buku boleh mempunyai hidup baru di tempat-tempat yang menjadi tumpuan ramai. Kedai buku pertamanya membuktikan bahawa ia turut boleh dijadikan tempat menjual topi untuk menarik perhatian orang-orang yang hanya sekali-sekali ke kedai buku. Kedai buku keduanya membuktikan bahawa kedai buku kendiri boleh bertahan walaupun dibina bertentangan dengan kedai buku berangkai dan merangsang keinginan untuk membeli dikedua-dua kedai buku ini. Kedai buku ketiga pula membuktikan bahawa kedai buku boleh bertahan dilokasi tumpuan orang ramai yang sewanya begitu mahal dan selalunya membuatkan kedai buku kendiri menemui kegagalan. Kedai buku keempatnya pula dibina dengan tujuan untuk membuktikan bahawa kehadiran sebuah kedai buku boleh memberikan kesan terhadap sebuah bandar yang tidak pernah mempunyai kedai bukunya sendiri.
Jadi apa rahsia Richard Kemp? Baru-baru Richard Kemp telah memberikan beberapa panduan dalam membuka kedai buku dalam satu artikel yang diterbitkan oleh Booktrade. Menurut Richard Kemp, anda mungkin tidak akan menjadi seorang yang kaya dengan hanya menjual buku, tetapi sekurang-kurangnya anda mempunyai satu perniagaan yang memuaskan hati anda. Secara ringkasnya, antara beberapa panduan yang diberikan oleh Richard Kemp adalah seperti berikut:
1. Anda tidak perlu menjadi seorang pembaca untuk menjadi penjual buku yang hebat
Anda tidak perlu peduli dengan rangkaian kedai-kedai buku besar atau penjual buku atas talian ataupun pasaraya yang menjual buku-buku diskaun. Perkara utama yang anda perlu beri perhatian adalah kehendak dan keperluan pelanggan anda.
2. Anda perlu memahami kenapa sesebuah kedai buku ditutup atau menemui gagal
Hasil kajian oleh Richard Kemp sendiri, beliau mendapati banyak kedai buku ditutup kerana mereka tidak mampu membayar sewa. Mereka juga bimbang dengan kehadiran medium-medium buku baru , contohnya seperti Kindle. Tetapi dengan kehadiran Kindle anda juga tahu bahawa pasaran untuk buku masih ada.
3. Kenali pelanggan anda
Anda perlu memberi lebih fokus kepada orang-orang yang yang lebih gemar membeli buku fizikal seperti para ibu-bapa berbanding mereka yang lebih gemar memuat turun buku ke dalam Kindle mereka. Salah satu tanda anda telah berjaya menarik perhatian mereka adalah bila mereka mula membawa anak mereka ke kedai anda dan mula bertanya kepada anda buku apa yang anak mereka patut baca.
4. Jadikan kedai buku anda sebuah kedai yang mesra pelanggan
Membeli buku adalah satu proses yang rumit. Pelanggan-pelanggan kedai buku selalunya menghabiskan masa yang lama didalam sesebuah kedai buku dan mereka mungkin akan beredar tanpa membeli sebarang buku. Anda tidak perlu risau; mereka akan datang semula kerana selalunya pelanggan akan datang 2-3 kali sebelum memutuskan untuk membeli buku kesukaan mereka. Dan jika ada buku anda dicuri, anda perlu bertenang kerana ia membuktikan anda telah melakukan sesuatu yang betul iaitu menyemai minat membaca.
5. Jadikan kedai buku anda lebih dari sekadar kedai buku
Kedai buku bukannya sebuah perpustakaan atau sekolah. Anda boleh menghiasi kedai buku anda mengikut minat anda tersendiri seperti meletakkan hiasan topi, gambar-gambar kucing atau apa saja yang anda suka. Ia perlu menjadi tempat yang menarik perhatian orang untuk datang melepaskan tekanan dan tidak membuatkan kanak-kanak contohnya mengaitkan aktiviti membaca buku sebagai aktiviti yang membosankan.
***