Kita membaca buku atas pelbagai sebab: untuk belajar, bersantai dan meninggalkan dunia nyata kita untuk mengenali dunia yang lain. Sebagai penghargaan kepada kuasa buku yang mampu membawa kita ke dunia yang lain, Conde Nast Traveller telah bertanya kepada kakitangan-kakitangan di kedai buku Bookcourt yang cukup tersohor di kota New York mengenai buku-buku terbaik yang boleh membuatkan seseorang berasa seperti mahu berada di Perancis. Buku-buku pilihan mereka adalah seperti berikut.
A Sport and a Pastime (James Salter)
Bonnie Chau dari kedai buku Bookcourt memilih novel ini yang mengisahkan tentang hubungan cinta di antara seorang anak gadis Perancis dan seorang lelaki muda dari Amerika. Novel ini memberikan gambaran kepada pembacanya tentang kehidupan di sebuah pekan kecil di Perancis. Menurut Chau, deskripsi penulis tentang jalan-jalan yang sunyi, malam yang meriah dan pinggiran luar bandar seperti yang dilihat dari dalam kereta dan keretapi sangat intim, membangkitkan perasaan dan sangat indah.
Lovers at the Chameleon Club (Francine Prose)
Pengurus kedai buku Bookcourt, Sarah Goewey memilih novel ini yang membawa pembacanya menyusuri jalan-jalan di kota Paris sebelum dan ketika Paris di bawah pemerintahan rejim Nazi ketika perang dunia kedua. Menurut Goewey, beliau menggemari plot novel yang memberi banyak perspektif tentang keadaan ketika itu.
Letters on Cézanne (Rainer Maria Rilke)
Nikkitha Bakshani memilih buku ini yang menangkap suasana musim luruh kota Paris. Dalam salah satu surat tulisan Rilke, beliau menulis tentang perasaan ketika beliau menghabiskan masa di hadapan lukisan di muzium kota Paris di mana beliau merasakan sungai Seine kelihatan seperti "sutera kelabu" dan cahaya gugur seperti "batu permata yang berkilau."
The Sun Also Rises (Ernest Hemingway)
Ketika diminta memberi ulasan tentang novel klasik Hemingway ini, Marissa Levien menyatakan "tiada apa yang mampu memberi perasaan gundah seperti kota Paris selepas perang dunia. Lambat laun, kamu terpaksa meninggalkannya dan pergi ke Sepanyol untuk menonton laga lembu".
Nightwood (Djuna Barnes)
Novel ini boleh dikira novel ulung yang mengisahkan tentang homoseksualiti yang sebahagiannya mengambil tempat di Paris. Marissa Levien menyatakan Djuna Barnes mencipta antara watak yang paling rumit yang boleh dibaca dan mampu memecah banyak sempadan melalui gambaran beliau tentang seksualiti wanita.
The Piano Shop on the Left Bank (Thad Carhart)
Pemilik kedai buku Bookcourt, Mary Gannett mencadangkan memoir tulisan Thad Carhart ini. Ketika Carhat yang berasal dari Amerika tinggal di Paris bersama keluarganya, dia menjumpai satu kedai piano misteri berdekatan tempat tinggalnya. Ini mengembalikan semula minatnya terhadap piano dan membawanya mengenali sisi kota Paris yang tidak diketahui oleh ramai orang.
This is Paris (Miroslav Sasek)
Mary Gannett turut mencadangkan buku kanak-kanak ini yang ditulis oleh seniman Miroslav Sasek. Menurut Gannet, buku ini memperkenalkan kota Paris kepada pembaca-pembaca muda tanpa perlu berada di Paris.
My Life in France (Julia Child)
Melalui buku ini, Julia Child berkongsi antaranya pengalamannya tinggal di Paris dan Marseille, perkhawinannya dan juga karier kulinarinya. Dalam prakata buku ini, Julia Child menulis "buku ini adalah tentang beberapa perkara yang paling saya suka dalam hidup saya."
Down and Out in Paris and London (George Orwell)
George Orwell akan membawa anda mengenali kemiskinan hidup di kota Paris pada tahun 1920an. Novel pertama ini sangat suram tetapi masih mempunyai humornya yang tersendiri.
Paris Trance (Geoff Dyer)
Novel ini membawa pembaca menjejaki dua pasangan muda. Walaupun tiada banyak perkara yang berlaku, tetapi mengunjungi Perancis melalui novel ini yang diterbitkan pada tahun 2010 ini masih tetap menjadi satu perjalanan yang mengasyikkan.
***