Selasa, 28 September, 1942
Ke hadapan Kitty,
Perkara pelik selalu terjadi ketika kamu bersembunyi. Cuba bayangkan ini; kerana kami tidak mempunyai tub mandi, kami mandi menggunakan sinki dan oleh kerana hanya terdapat air panas di pejabat (dalam erti kata lain di seluruh tingkat bawah), kami bertujuh bergilir-gilir mengambil peluang keemasan ini. Tetapi oleh kerana kami semua berbeza dan mempunyai rasa malu yang berbeza, setiap daripada kami memilih tempat yang berbeza untuk mandi.
Peter mandi di dapur pejabat walaupun ia mempunyai pintu gelas lutsinar. Ketika tiba masa untuk dia mandi, dia akan datang kepada setiap kami dan memberitahu tiada siapa dibenarkan untuk berjalan melintasi dapur selama setengah jam. Dia merasakan tindakannya ini sudah cukup untuk menghalang kami ke dapur.
Encik van Daan mandi di tingkat atas kerana dia merasakan keselamatan biliknya adalah lebih penting berbanding kesukaran mengangkat air panas menaiki tangga. Puan van Daan masih belum mandi kerana dia masih mencari tempat yang paling sesuai.
Ayah mandi di pejabat peribadi dan Ibu di dapur di belakang skrin penghadang api manakala Margot dan saya memilih pejabat hadapan sebagai tempat mandi kami. Oleh kerana langsir ditutup pada tengahari sabtu, kami mandi dalam gelap sementara seorang lagi yang tidak mandi memandang keluar melalui celah-celah langsir tingkap dan merenung dengan penuh keterujaan ke arah orang-orang yang menggelikan hati.
Seminggu yang lepas saya memutuskan saya tidak menyukai tempat ini dan berusaha mencari tempat mandi yang lebih selesa. Peter adalah orang yang memberikan saya idea untuk mandi di tandas pejabat yang besar. Saya boleh duduk, membuka lampu, mengunci pintu dan menyiram diri saya tanpa bantuan orang lain dan tanpa takut dilihat sesiapa. Saya menggunakan bilik air saya yang cantik ini pertama kali pada hari ahad dan walaupun ia kelihatan pelik, saya lebih menyukainya berbanding tempat lain.
Tukang paip yang bekerja di tingkat bawah pada hari rabu telah mengalihkan paip air dan longkang dari tandas pejabat ke ruang laluan hadapan supaya paip itu tidak beku ketika musim sejuk. Kunjungan tukang paip itu sangat tidak menyelesakan. Ia bukan sahaja kerana kami tidak dibenarkan menggunakan air pada siang hari, kami juga tidak dibenarkan masuk ke tandas.
Biar saya beritahu kamu bagaimana kami mengatasi masalah ini: kamu mungkin merasakan ia agak pelik bila saya membangkitkan hal ini tetapi saya tidaklah terlalu pemalu tentang hal-hal sebegini. Pada ketika hari kami sampai, ayah dan saya mereka satu mangkuk najis dengan mengorbankan satu balang pengetinan untuk tujuan ini. Sepanjang tukang paip itu datang, balang tersebut digunakan pada siang hari sebagai tandas kami. Pada pendapat saya, ini tidak sesukar duduk diam sepanjang hari tanpa berkata apa-apa. Kamu boleh bayangkan bagaimana sukarnya untuk Cik Kuek, Kuek, Kuek ini. Pada hari biasa saya terpaksa bercakap dalam nada berbisik; tidak dapat bercakap atau bergerak langsung adalah sepuluh kali lebih teruk.
Selepas tiga hari terpaksa duduk dengan kerap, belakang saya mula berasa sengal dan sakit. Melakukan senaman gimnastik setiap malam memang membantu.
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.