Khamis, 1 Oktober, 1942
Kehadapan Kitty,
Semalam saya berasa begitu takut. Pada pukul 8.00 pagi, tiba-tiba loceng pintu berbunyi. Apa yang saya fikirkan ketika itu hanyalah seseorang datang untuk menangkap kami dan kamu sudah tahu tentunya tahu apa maksud saya. Tetapi saya kembali tenang apabila semua orang menyatakan ia mungkin hanya budak-budak nakal atau penghantar surat.
Hari-hari di sini sangat sepi. Encik Levinsohn, seorang Yahudi berbadan kecil yang bekerja sebagai ahli farmasi dan ahli kimia sekarang bekerja untuk Encik Kugler di dapur. Oleh kerana dia biasa dengan seluruh bangunan ini, kami sentiasa rasa bimbang dia akan pergi melihat apa yang ada di tempat yang satu ketika dahulu adalah sebuah makmal. Kami duduk diam seperti tikus. Siapa sangka Anne yang liar tiga bulan yang lalu kini terpaksa duduk senyap selama berjam-jam dan siapa sangka dia mampu melakukannya?
Hari lahir Puan van Daan adalah pada dua puluh sembilan haribulan. Walaupun kami tidak menyambutnya secara besar-besaran, dia dihadiahkan dengan bunga yang banyak, hadiah-hadiah ringkas dan makanan yang sedap. Kelihatannya bunga teluki merah dari suaminya adalah hadiah tradisi dalam keluarganya.
Biar saya berhenti sekejap tentang cerita hari lahir Puan van Daan dan beritahu kamu tentang cubaannya untuk menggoda ayah saya dan ia sangat menyakitkan hati saya. Dia menepuk pipi dan kepala ayah saya, memendekkan skirtnya dan memberikan ulasan-ulasan yang konon-kononnya kelakar dalam cubaannya untuk mendapatkan perhatian Ayah. Nasib baik Ayah tidak merasakan Puan van Daan seorang yang cantik atau menawan dan dia tidak memberi sebarang tindakbalas terhadap godaannya. Seperti yang kamu sedia maklum, saya jenis orang yang mudah cemburu, dan saya tidak boleh menerima tingkah-laku Puan van Daan. Lagipun, Ibu tidak berkelakuan sebegitu terhadap Encik van Daan dan itulah saya katakan secara berdepan kepada Puan van Daan.
Dari masa ke masa, Peter boleh menjadi seorang yang sangat lucu. Saya dan dia mempunyai satu persamaan: kami suka bermain pakaian beragam yang membuatkan semua orang ketawa. Satu malam, kami membuat kemunculan kami dengan Peter memakai salah satu dres ketat ibunya dan saya pula memakai sut. Dia memakai topi dan saya memakai kep. Semua orang ketawa berdekah-dekah dan kami juga sangat terhibur.
Bep membeli skirt baru untuk saya dan Margot di Bijenkorf. Fabriknya sangat buruk, sama seperti guni kentang. Dahulu tidak ada kedai yang berani menjualnya tetapi sekarang ia berharga 24.00 guilder (skirt margot) dan 7.75 guilder (skirt saya).
Ada sesuatu yang menarik menanti kami: Bep mengadakan kelas trengkas untuk Margot, Peter dan saya. Tunggu sajalah, tidak lama lagi kami akan mahir menggunakan trengkas. Apapun, belajar menulis kod rahsia seperti ini sangat menarik.
Jari telunjuk saya terasa sangat sakit (jari sebelah kiri) dan saya tidak boleh menggosok baju saya.
Malang sungguh!
Encik van Daan mahu saya duduk di sebelahnya di meja makan kerana dia tidak berapa gemar Margot yang tidak makan banyak. Saya tidak kisah, Saya sukakan perubahan. Ada seekor kucing hitam kecil yang selalu merayau-rayau di halaman dan ia mengingatkan saya kepada Moortje kesayangan saya. Salah satu lagi sebab saya sukakan perubahan adalah kerana ibu selalu carping saya terutamanya di meja makan. Sekarang Margot pula terpaksa melaluinya. Ataupun mungkin Margot tidak akan melaluinya kerana ibu tidak selalu memberikan kata-kata sarkastik kepadanya. Sudah tentu tidak kepada simbol manusia yang unggul itu! Saya selalu mengusik Margot tentang dia yang menjadi simbol manusia yang unggul kebelakangan ini dan dia sangat membencinya. Mungkin ia akan mengajarnya untuk tidak menjadi terlalu baik. Sudah tiba masanya dia belajar.
Untuk mengakhiri berita yang melompat-lompat ini, ada satu jenaka yang begitu lucu yang diceritakan oleh Encik van Daan: Apa dia benda yang berklik 99 kali dan berkeletak sekali?
Lipan dengan satu kaki yang tempang.
Baibai,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.