Sabtu, 3 Oktober 1942
Kehadapan Kitty,
Semua orang suka mengusik saya kebelakangan ini kerana saya tidur di atas katil di sebelah Encik van Daan. "Dalam usia kamu! Mengejutkan!" dan usikan-usikan yang lebih kurang sama. Bodoh, sudah tentunya. Saya bukannya mahu tidur dengan Encik van Daan seperti cara yang mereka semua fikirkan.
Semalam saya dan Ibu bergaduh lagi dan dia benar-benar marah. Dia memberitahu Ayah tentang semua dosa saya dan dia mula menangis dan membuatkan saya turut menangis dan pada masa yang sama juga saya mengalami sakit kepala yang teruk. Akhirnya saya memberitahu Ayah yang saya menyayanginya lebih daripada Ibu dan Ayah menjawab ianya hanyalah perasaan yang sementara sahaja tetapi saya tidak fikir sebegitu.
Saya sebenarnya tidak boleh tahan lagi dengan Ibu dan saya terpaksa menahan diri saya daripada mengamuk dengan Ibu saya sepanjang masa dan cuba untuk bertenang walaupun saya mahu menampar pipinya. Saya tidak tahu kenapa saya sangat membencinya. Ayah kata jika Ibu berasa tidak sihat atau sakit kepala, saya sepatutnya menwarkan diri untuk membantunya tetapi saya tidak akan melakukannya kerana saya tidak menyukai Ibu dan saya langsung tidak berasa gembira menolongnya. Saya boleh bayangkan Ibu akan mati satu hari nanti tetapi saya tidak boleh bayangkan perkara yang sama tentang Ayah saya. Memang saya agak kejam tetapi itulah apa yang saya rasa. Saya harap Ibu tidak membaca tulisan ini atau apa-apa tulisan lain yang saya tulis.
Kebelakangan ini saya dibenarkan untuk membaca lebih banyak buku dewasa. Sekarang saya sibuk membaca novel Eva's Jeugd tulisan Nico van Suchtelen. Saya tidak rasa ada banyak perbezaan antara buku ini dengan buku-buku remaja perempuan lain.
Eva merasakan kanak-kanak tumbuh di pokok seperti buah epal dan burung upih memetik mereka dari pokok apabila ia masak dan membawanya kepada ibu mereka. tetapi kucing sahabat perempuannya mempunyai anak dan Eva mendapati ia keluar dari kucing itu. Jadi dia mengandaikan kucing bertelur dan menetaskannya seperti ayam dan ibu yang mahukan anak juga akan naik ke atas rumah selama beberapa hari untuk bertelur dan mengeramkannya. Selepas bayi itu sampai, si ibu akan berasa letih kerana mencangkung. Pada satu masa, Eva juga mahukan anak. Dia mengambil satu skarf bulu dan membentangkannya di atas tanah supaya telur boleh jatuh ke atas skarf itu dan dia mencangkung dan mula meneran. Dia berkokok sambil menunggu tetapi tiada telur yang keluar. Akhirnya selepas dia mencangkung dengan agak lama, ada sesuatu yang keluar tetapi bukan telur tetapi sosej. Evan sangat malu. Dia merasakan dia sakit. Kelakar bukan?
Ada juga cerita tentang zaman remaja Eva yang menceritakan tentang perempuan yang menjual tubuh mereka kepada lelaki di jalanan dan meminta bayaran yang mahal. Saya sudah tentunya akan tidak keruan jika berada di hadapan lelaki seperti itu. Tambahan lagi, ada juga cerita tentang haid Eva. Oh, saya begitu menantikan masa saya mendapat haid -- ketika itu saya akan benar-benar dewasa. Ayah berleter lagi dan mengugut untuk merampas diari saya. Oh, sangat menakutkan!
Mulai saat ini, saya akan menyorokkannya.
Anne Frank
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.