Tolstoy dilahirkan di dalam keluarga bangsawan Rusia yang kaya. Zaman mudanya memang agak liar tetapi semakin umurnya meningkat, beliau mengubah gaya hidupnya dengan begitu radikal sekali di mana beliau menolak gaya hidupnya yang liar dan memilih hidup yang tidak konvensional dan sudah tentunya mengejutkan rakan-rakannya. Persoalannya, bagaimanakah perjalanan hidup Tolstoy boleh membuatkan kita memikirkan semula tentang falsafah hidup kita? Berikut adalah beberapa falsafah hidup Tolstoy yang mungkin mampu membantu kita memperbaiki hidup kita.
1. Sentiasa berfikiran terbuka
Salah satu sikap Tolstoy yang mungkin boleh dikagumi adalah keterbukannya dalam menukar cara pemikiran setiap kali beliau melalui pengalaman baru dalam hidupnya. Sebagai contoh, tragedi berdarah yang beliau lalui ketika menyertai peperangan Crimean pada tahun 1850an mengubahnya menjadi seorang pasifis. Begitu juga ketika beliau melihat kepala yang putus akibat dihukum dengan gilotin di Paris menyebabkan beliau menjadi penentang kerajaan kerana beliau merasakan kerajaan ketika itu bukan sahaja kejam tetapi hanya bertindak demi kepentingan orang-orang kaya dan berkuasa.
2. Sentiasa memiliki empati
Tolstoy mempunyai kebolehan untuk meletakkan dirinya dalam hidup orang lain yang begitu berbeza dengan kehidupannya. Beliau bukan sahaja sanggup memakai pakaian orang biasa tetapi beliau juga bekerja bersama-sama kuli-kuli yang bekerja di ladangnya. Untuk seorang bangsawan, sikapnya itu memang menakjuban. Tolstoy percaya kita tidak akan mampu memahami realiti hidup orang lain sehinggalah kita melaluinya sendiri.
3. Hidup dengan sederhana
Selepas mengalami tekanan perasaan yang teruk pada penghujung tahun 1870an, Tolstoy memilih untuk menolak semua agama termasuk agama yang dianutinya ketika itu. Beliau juga berhenti meminum arak, merokok dan menjadi seorang vegetarian. Belia juga turut mengilhamkan komuniti utopia yang hidup sederhana di mana mereka hanya hidup sekadar mengikut apa yang perlukan dan berkongsi harta benda. Gaya hidup ini turut mempengaruhi Gandhi yang mengasaskan sebuah ashram pada tahun 1910 yang diberi nama Ladang Tolstoy.
4. Lakukan perubahan
Tolstoy terkenal dengan usahanya untuk menghapuskan kebuluran. Pada tahun 1873, Tolstoy mengambil rehat dari menulis novel Anna Karenina untuk membantu orang-orang yang menghadapi krisis kebuluran ketika itu. Beliau melakukannya sekali lagi pada krisis kebuluran tahun 1981 dengan bekerja sebagai sukarelawan di dapur sup dan mengutip derma selama dua tahun.
5. Luaskan lingkungan sosial
Tolstoy merasakan kita tidak akan dapat mampu mengetahui samada pandangan yang kita pegang adalah betul atau adil jika kita hanya hidup dalam lingkungan sosial kita sahaja.Bagi Tolstoy, cara terbaik untuk menentang prejudis dan melihat dunia dengan cara baru adalah dengan bercampur gaul dengan orang yang mempunyai pandangan dan gaya hidup yang berbeza dari kita.
***
Sumber: BBC