9 Oktober, 1942
Kehadapan Kitty,
Hari ini saya hanya ada berita buruk untuk dilaporkan. Berbondong-bondong sahabat-handai Yahudi kami dibawa pergi. Para Gestapo melayan mereka dengan kasar dan membawa mereka pergi menggunakan gerabak keretapi lembu ke Westbrook iaitu sebuah kem besar di Drenthe yang menjadi tempat kesemua Yahudi dihantar. Miep memberitahu kami tentang seseorang yang berjaya melarikan diri dari sana.
Sudah tentu ia sangat teruk di Westerbork. Mereka langsung tidak mempunyai apa-apa untuk makan, apatah lagi minum kerana air hanya dibekalkan selama sejam setiap hari dan hanya terdapat satu tandas dan sinki untuk beberapa ribu orang. Lelaki dan perempuan tidur di bilik yang sama dan selalunya rambut perempuan dan kanak-kanak akan dicukur. Mustahil untuk melarikan diri; kebanyakan mereka kelihatan seperti Yahudi dan mereka ditandakan dengan kepala mereka yang botak.
Jika ia seteruk begitu di Belanda, apa pula agaknya keadaan di tempat yang jauh dan tidak bertamadun di mana Jerman menghantar mereka? Kami mengandaikan kesemua mereka dibunuh. Radio Inggeris menyatakan mereka digas. Mungkin itu cara paling cepat untuk mati.
Saya rasa teruk. Cerita Miep tentang kisah-kisah kejam ini sangat menyayat hari dan Miep juga kelihatan sangat terganggu. Sebagai contoh, beberap hari lepas Gestapo meninggalkan seorang perempuan Yahudi tua yang tempang di pintu rumah Miep sementara mereka pergi mendapatkan kereta. Perempuan itu sangat ketakutan melihat lampu besar dan tembakan senapang ke arah kapal terbang Inggeris yang lalu di udara. Tetapi Miep tidak berani membiarkan perempuan itu masuk ke dalam rumahnya. Tiada siapa yang berani. German sangat bermurah hati ketika menghukum orang.
Bep juga kelihatan murung. Teman lelakinya dihantar ke Jerman. Setiap kali ada kapal terbang lalu di udara, dia akan berasa takut memikirkan ia mungkin akan menjatuhkan kesemua bom mereka di atas kepala Bertus. Jenaka seperti "Oh, jangan risau, mustahil semuanya akan jatuh di atasnya" atau "Mereka hanya perlukan satu bom" sangat tidak sesuai pada situasi ini. Bertus bukanlah satu-satunya orang yang dipaksa bekerja di Jerman. Banyak gerabak yang diisi dengan berbondong-bondong lelaki muda berlepas setiap hari. Ada yang cuba melarikan diri apabila keretapi berhenti di stesyen-stesyen kecil tetapi hanya beberapa orang yang berjaya melarikan diri tanpa disedari dan mencari tempat untuk bersembunyi.
Tetapi itu bukanlah pengakhiran ratapan saya. Pernahkah kamu mendengar perkataan "tebusan"? Itulah hukuman terbaru kepada para pensabotaj. Ia adalah perkara paling teruk yang kamu boleh bayangkan. Mereka yang tidak bersalah akan ditahan sementara menunggu hukuman. Jika Gestapo tidak berjaya mencari si pensabotaj, mereka akan mengambil lima tebusan dan membariskan mereka di dinding. Kamu akan membaca tentang pengumuman kematian mereka di dalam suratkhabar di mana mereka dilaporkan "mati kemalangan."
Bahagian Jerman itu memang contoh kemanusiaan yang bagus dan memikirkan saya adalah salah seorang dari mereka! Tidak, itu tidak benar. Hitler sudah lama merampas kewarganegaraan kami. Lagipun tidak ada musuh yang lebih besar di dunia berbanding Jerman dan Yahudi.
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.