Khamis, 29 Oktober, 1942
Kehadapan Kitty,
Saya sangat risau. Ayah sedang sakit. Kulitnya penuh dengan bintik-bintik dan badannya rasa begitu panas. Kelihatannya dia sedang demam campak. Cuba bayangkan, kami langsung tidak boleh memanggil doktor! Ibu sedang cuba membuatkan Ayah berpeluh dengan harapan ia dapat mengurangkan demamnya.
Pagi tadi Miep memberitahu kami bahawa perabot-perabot telah dialihkan dari rumah pangsapuri keluarga van Daan di Zuider-Amstellaan. Kami masih belum memberitahu perkara tersebut kepada Puan van Daan. Kebelakangan ini dia kelihatan gelisah dan kami tidak mahu mendengar dia merintih dan mengaduh tentang pinggan mangkuk dan kerusi-kerusi cantiknya yang dia terpaksa tinggalkan. Kami juga terpaksa meninggalkan banyak barang-barang kami yang cantik. Apa guna merintih tentangnya sekarang?
Ayah mahu saya mula membaca buku tulisan Hebbel dan penulis-penulis terkenal Jerman yang lain. Saya boleh membaca tulisan Jerman dengan agak baik sekarang. Cuma biasanya saya hanya menggumam perkataan-perkataannya dan bukan membacanya dengan senyap kepada diri saya. Tetapi itu semua akan berlalu. Ayah telah membawa turun buku drama pentas Goethe dan Schiller dari rak buku dan bercadang untuk membacanya kepada saya setiap malam. Kami bermula dengan Don Carlos. Terkesan dengan contoh baik Ayah saya, Ibu pula meletakkan buku doanya di tangan saya. Untuk berlaku sopan, saya membaca beberapa doa dalam bahasa Jerman. Ia memang kedengaran indah tetapi ia membawa makna yang begitu sedikit kepada saya. Kenapa ibu saya mahu saya menjadi begitu beragama dan warak?
Esok kami akan menyalakan api dapur untuk pertama kalinya. Serombong asap sudah begitu lama tidak dibersihkan. Jadi sudah tentu bilik kami akan diselubungi asap. Harap-harapnya api dapur itu dapat dihidupkan!
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.