Isnin, 2 November, 1942
Kehadapan Kitty,
Jumaat malam lepas Bep bermalam bersama kami. Ia sangat menyeronokkan tetapi dia tidak dapat tidur dengan nyenyak kerana dia telah meminum wain. Yang lain-lainnya tidak ada apa yang menarik untuk dilaporkan. Semalam saya mengalami sakit kepala yang teruk dan saya tidur awal. Margot kembali menjadi orang yang menjengkelkan.
Pagi tadi saya mula menyusun satu fail kad indeks dari pejabat kerana ia telah terjatuh dan bercampur-aduk. Ia tidak mengambil masa yang lama sebelum saya rasa serabut dengannya. Saya meminta pertolongan Margot dan Peter tetapi mereka terlalu malas. Jadi saya berhenti menyusunnya.
Saya tidaklah cukup gila untuk melakukannya seorang diri!
Anne Frank
Nota Kaki: Saya terlupa untuk memberitahu satu berita penting. Haid saya mungkin akan datang tidak lama lagi. Saya boleh merasakannya kerana saya sering melihat tompok-tompok putih pada seluar dalam saya dan Ibu mengandaikan haid saya akan datang tidak lama lagi. Saya sangat tidak sabar menunggunya. Ia detik yang sangat bersejarah. Malangnya saya tidak boleh menggunakan tuala wanita tetapi kamu memang tidak boleh mendapatkannya lagi. Tampon Ibu pula hanya boleh digunakan oleh perempuan yang pernah melahirkan anak.
ULASAN YANG DITAMBAH OLEH ANNE PADA 22 JANUARI 1944: Saya tidak mampu menulis tentang perkara-perkara sebegitu lagi.
Selepas membaca apa yang tulis di dalam diari saya sepanjang setahun setengah yang lalu, saya agak terkejut dengan kenaifan saya. Jauh di sudut hati saya, saya tahu saya tidak akan mampu menjadi naif sebegitu lagi tidak kira betapa kuat saya mahukannya. Saya masih boleh memahami perasaan saya yang berubah-ubah dan ulasan-ulasan saya tentang Margot, Ibu dan Ayah seolah-olah saya baru menulisnya semalam tetapi saya tidak menyangka saya boleh menulisnya dengan begitu bersahaja. Saya berasa sangat malu apabila membaca tentang benda-benda yang saya rasa indah walaupun hakikatnya ia tidak sebegitu. Penerangan saya sangat kurang sopan. Apapun, cukuplah tentang itu.
Saya juga boleh memahami rasa rindu saya kepada rumah saya dan Moortje. Sepanjang saya berada di sini, saya merindu tanpa sedar dan adakalanya secar sedar rindu kepada kepercayaan, cinta dan keintiman. Rasa rindu ini mungkin akan berkurangan tetapi ia akan terus wujud.
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.