ISNIN, 9 NOVEMBER, 1942
Kehadapan Kitty,
Semalam adalah hari jadi Peter yang keenam belas. Saya sudah berada di tingkat atas seawal jam lapan pagi dan saya bersama Peter melihat hadiah hari jadi Peter. Dia menerima hadiah permainan monopoli, pisau cukur dan pemetik api. Agak pelik juga melihat hadiah pemetik api kerana Peter hanya menghisap rokok sekali-sekala sahaja.
Semalam kejutan paling besar datang dari Encik van Daan yang melaporkan tentera Inggeris sudah mendarat di Tunis, Algeria, Casablanca dan Oran. Semua orang berkata "Ini adalah permulaan kepada penamat" tetapi perdana menteri British iaitu Churchill yang sudah pastinya mendengar ramai orang berkata begitu mengumumkan "Ini bukanlah penamat. Ia juga bukan permulaan. Tetapi ia mungkin penamat kepada permulaan." Adakah kamu dapat melihat perbezaannya? Apapun, memang ada sebab untuk berasa optimis. Stalingard iaitu bandar di Rusia sudah diserang selama tiga bula tetapi ia masih tetap bertahan.
Apapun, dengan mengambil semangat utama di Annex, saya patut bercerita kepada kamu tentang makanan. (Saya perlu menjelaskan bahawa memang ada orang yang kuat makan di tingkat atas.)
Roti dihantar setiap hari oleh seorang pembuat roti yang sangat baik hati iaitu rakan kepada Encik Kleiman. Memang kami tidak mempunyai bekalan roti yang banyak seperti di rumah tetapi ia lebih dari mencukupi. Kami juga membeli buku catuan di pasar gelap. Harganya semakin mahal; sekarang ia sudah meningkat dari 27 ke 33 guilder walaupun ia hanyalah helaian kertas bercetak yang biasa.
Untuk mendapatkan bekalan nutrisi selain dari beratus tin makanan yang kami simpan, kami membeli tiga ratus paun kacang. Ia bukan untuk kami sahaja tetapi juga untuk kakitangan di pejabat. Kami menyangkut guni kacang tersebut di cangkuk yang terletak di dinding laluan di Annex yang betul-betul berada di laluan masuk rahsia kami tetapi terdapat beberapa guni yang sedikit terkoyak kerana ia terlalu berat. Jadi kami mengambil keputusan untuk memindahkannya ke loteng dan Peter diberi tugas untuk mengangkut guni-guni kacang yang berat itu. Dia berjaya mengangkut lebih kurang lima ke enam guni kacang ke tingkat atas tetapi ketika dia sibuk dengan guni yang terakhir, guni tersebut telah terkoyak dan kacang-kacang di dalam guni tersebut keluar seperti banjir ataupun mungkin juga seperti ribut ke tingkat bawah. Memandangkan terdapat lebih kurang lima puluh paun kacang di dalam guni tersebut, bunyinya sudah cukup kuat untuk menghidupkan orang mati.
Orang di tingkat bawah pula merasakan seperti bangunan sedang runtuh. Peter begitu terkejut tetapi kemudian ketawa berdekah-dekah apabila melihat saya ditimbuni oleh kacang-kacang di bawah tangga. Kami dengan segera mengutipnya semula tetapi kacang-kacang tersebut terlalu kecil dan licin sehingga ia bergolek masuk ke setiap ruang yang ada. Sekarang setiap kali kami ke tingkat atas, kami akan membongkok dan mencari kacang-kacang yang masih tinggal supaya kami boleh memberikan kepada Puan van Daan segenggam kacang.
Saya hampir terlupa untuk memberitahu kamu bahawa Ayah semakin pulih dari sakitnya.
Yang benar,
Anne
Nota Kaki: Radio baru sahaja mengumumkan bahawa Algeria telah ditawan. Maghribi, Casablanca dan Oran sudah berada dalam tawanan tentera Inggeris selama beberapa hari. Sekarang kami menunggu Tunis pula.
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.