Khamis, 12 November 1942
Kehadapan Kitty,
Miep datang berjumpa kami untuk memberitahu bahawa dia telah berjumpa Dr. Dussel. Dia bertanya kepada Miep sebaik sahaja Miep datang berjumpanya samada Miep tahu mana-mana tempat untuk bersembunyi dan sangat gembira apabila Miep memberitahunya tentang tempat persembunyian kami. Miep seterusnya memberitahu kami bahawa dia ada memberitahu kepada Dr. Dussel supaya "bersembunyi dengan segera, seboleh-bolehnya pada hari Sabtu, tetapi Dr. Dussel merasakan ia agak mustahil kerana dia mahu mengemaskini rekod pesakitnya, menguruskan akaunnya dan berjumpa beberapa orang pesakitnya." Miep memberitahu kami semua ini pada pagi tadi.
Kami merasakan ia bukanlah satu tindakan yang bijak untuk menunggu sehingga hari sabtu. Segala persediaan yang dirancang oleh Dr. Dussel mungkin perlu dijelaskan kepada orang-orang yang sepatutnya tidak boleh tahu tentang rancangan Dr. Dussel. Miep telah pergi berjumpa dengan Dr. Dussel dan malangnya Dr. Dussel memberitahu dia juga tidak boleh datang pada hari Sabtu dan menukarnya kepada hari Isnin.
Saya rasa agak pelik kerana dia tidak terus datang selepas mendengar rancangan kami untuk membawanya ke sini. Kalaulah dia ditangkap di jalanan, sudah tentu ia langsung tidak akan membantu rekod pesakitnya atau pesakitnya sendiri. Jadi kenapa dia mahu bertangguh?
Jika kamu tanya saya, saya rasa tindakan Ayah melayan permintaannya adalah satu tindakan yang bodoh.
Selain itu, tiada apa-apa lagi berita.
Yours, Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.