Selasa, 17 November, 1942
Kehadapan Kitty!
Encik Dussel sudah sampai. Semuanya berjalan dengan lancar. Miep memberitahu Encik Dussel untuk berada di hadapan pejabat pos pada pukul 11 pagi di mana seorang lelaki akan berjumpanya pada tempat dan waktu yang telah ditetapkan itu. Encik Kleiman pergi berjumpa dengannya dan menyatakan bahawa lelaki yang sepatutnya berjumpanya tidak dapat datang dan memintanya untuk datang ke pejabat berjumpa Miep. Encik Kleiman kembali semula ke pejabat menaiki keretapi jalanan manakala Encik Dussel datang dengan berjalan kaki.
Encik Dussel sampai pada jam sebelas dua puluh pagi. Miep menyuruhnya untuk menanggalkan kotnya supaya lambang bintang kuning di kotnya tidak kelihatan dan membawanya ke pejabat peribadi di mana Encik Kleiman akan menemaninya sehingga tukang cuci beredar. Dengan menggunakan alasan bahawa pejabat peribadi tersebut akan digunakan untuk hal lain, Miep membawa Encik Dussel naik ke tingkat atas, membuka pintu rak buku dan masuk ke dalam dan muka Encik Dussel memang kelihatan begitu terkejut.
Dalam pada masa yang sama, kami bertujuh duduk menunggu di meja makan dengan kopi dan kognac bagi mengalukan kehadiran orang baru ke dalam keluarga kami. Miep membawanya masuk ke dalam bilik keluarga Frank. Dia serta merta dapat mengecam perabot keluarga kami tetapi dia masih tidak tahu kami berada di tingkat atas yang betul-betul di atas kepalanya. Dia sangat terkesima dan hampir pengsan apabila Miep memberitahu tentang kehadiran kami. Nasib baik Miep dengan segera membawa dia ke tingkat atas. Encik Dussel duduk di kerusi dan merenung kami dengan diam seolah-olah dia boleh membaca realiti yang tertulis di muka kami. Kemudian dia berkata-kata dengan suara yang tergagap-gagap "Aber... bukankah kamu sekarang berada di Belgium? Pegawai, kereta, mereka semua tak ada? Kamu tak jadi melarikan diri?"
Kami menceritakan segala-galanya kepada Encik Dussel tentang bagaimana kami sengaja menyebarkan khabar angin tentang pegawai dan kereta untuk mengabui mata tentera Jerman dan sesiapa sahaja yang mungkin akan mencari kami. Encik Dussel langsung tidak mampu berkata-kata apabila mendengar cerita kami dan dia hanya mampu merenung kami dengan penuh keajaiban sambil dia menjelajah bilik rahsia Annex kami yang begitu cantik dan sangat praktikal. Kami kemudian makan tengahari bersama. Selepas itu Encik Dussel tidur sebentar dan menyertai kami untuk minum petang. Kemudian dia mengemaskan barang-barangnya yang berjaya di bawa lebih awal ke tempat kami oleh Miep dan dia mula serba-sedikit merasa bilik rahsia ini seperti rumahnya. Terutamanya ketika kami memberikannya nota bertaip berkenaan peraturan dan tatacara di Bilik Rahsia Annex (yang disediakan oleh keluarga van Daan):
PROSPEKTUS DAN TATACARA DI BILIK RAHSIA ANNEX
Fasiliti Unik untuk Penempatan Sementara Yahudi dan Pelarian Lain
Dibuka sepanjang tahun: terletak di kawasan yang indah, sunyi dan rimbun di tengah-tengah kota Ansterdam. Tiada kediaman peribadi di kawasan sekitar. Boleh dikunjungi dengan menaiki keretapi jalan no 13 atau 17 atau dengan menaiki kereta dan basikal. Ia juga boleh dikunjungi dengan berjalan kaki bagi sesiapa yang telah dilarang menaiki kenderaan-kenderaan tersebut oleh pihak berkuasa Jerman. Bilik yang kosong, lengkap dengan perabot atau pangsapuri tersedia setiap masa samada siap dengan makanan atau tidak.
Harga: Percuma. Jenis Makanan: Rendah lemak
Air boleh diambil dari dalam bilik air (Maaf, anda tidak dibenarkan mandi) dan juga dicelah-celah dinding. Terdapat dapur kayu untuk memanaskan badan.
Ada ruang yang cukup untuk menyimpan barang. Ada dua peti keselamatan moden yang besar.
Ada radio peribadi yang menerima siaran terus dari stesyen radio di London, New York, Tel Aviv dan banyak lagi. Ia boleh didengar oleh semua penghuni selepas pukul 6.00 petang. Semua stesyen boleh dipasang tetapi stesyen radio Jerman hanya boleh dipasang untuk mendegar lagu-lagu klasik sahaja. Mendengar buletin berita Jerman (tidak kira dari stesyen mana) dan menyampaikannya kepada orang lain adalah dilarang sama sekali.
Waktu rehat: Dari pukul 10.00 malam hingga 7.00 malam.; 10.15 pagi pada hari ahad. Bergantung kepada keadaan, setiap penghuni dikehendaki mematuhi waktu rehat pada siang hari apabila diarahkan oleh pihak pengurusan. Bagi keselamatan semua penghuni, ia hendaklah dipatuhi tanpa soal!!!
Aktiviti masa lapang: Tiada aktiviti luar rumah dibenarkan sehingga diberitahu.
Peraturan bercakap: Adalah perlu untuk bercakap dengan suara yang perlahan. Hanya bahasa orang bertamadun sahaja dibenarkan dan oleh itu menggunakan bahasa Jerman adalah dilarang.
Buku yang boleh dibaca: Buku Jerman adalah dilarang kecuali buku-buku klasik dan ilmiah. Buku-buku lain adalah dibenarkan.
Senaman: Setiap hari.
Menyanyi: Dibolehkan dengan suara yang perlahan dan hanya selepas pukul 6.00 petang.
Menonton filem: Kebenaran awal perlu diperolehi.
Pelajaran: Kelas pengajian maklumbalas trengkas. Kelas pengajian dalam bahasa Inggeris, Perancis, matematik dan sejarah ditawarkan pada bila-bila masa etiap setiap hari. Yuran pengajian dalam bentuk pelajaran contohnya mengajar bahasa Belanda.
Ada bahagian khas untuk mengawal ancaman serangga (kecuali serangga perosak yang memerlukan permit khas.)
Waktu makan:
Sarapan: 9.00 pagi setiap hari kecuali hari cuti dan Ahad; sekitar jam 11.30 pagi pada hari cuti dan Ahad.
Makan Tengahari: Makanan ringkas. Dari pukul 1.15 tengahari hingga 1.45 tengahari.
Makan malam: tidak semestinya makanan panas. Waktu makan bergantung kepada waktu siaran berita.
Kewajiban berhubung bahagian bekalan: Penghuni mesti bersedia untuk menolong kerja-kerja di pejabat pada setiap masa.
Waktu mandi: tab mandi boleh digunakan selepas pukul 9.00 pagi setiap hari ahad. Penghuni boleh memilih untuk mandi di dalam bilik air, dapur, pejabat peribadi atau pejabat depan.
Alkohol: hanya untuk tujuan perubatan sahaja.
Tamat.
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.