KHAMIS, 19 NOVEMBER, 1942
Ke hadapan Kitty,
Seperti yang kami jangka, Encik Dussel memang seorang lelaki yang baik. Sudah tentu dia tidak kisah berkongsi bilik dengan saya. Secara jujurnya, saya tidaklah begitu suka berkongsi barang-barang saya dengan orang yang saya tidak kenali tetapi kita perlu berkorban untuk perkara-perkara yang baik dan saya bersyukur saya boleh membuat sedikit pengorbanan kecil. "Jika kita boleh menyelamatkan walaupun hanya seorang sahabat kita, hal-hal lain tidak lagi menjadi penting," kata Ayah. Kata-katanya memang benar.
Hari pertama Encik Dussel di sini, dia bertanya begitu banyak soalan kepada saya -- sebagai contoh, pukul berapa tukang cuci datang, bagaimana kami menentukan siapa yang menggunakan bilik air dahulu dan bila kami dibenarkan menggunakan tanda. Kamu mungkin rasa ia kelakar tetapi ia tidaklah semudah yang disangkan apabila kamu bersembunyi. Ketika waktu siang, kami tidak boleh membuat apa-apa bunyi yang mungkin boleh didengar dari tingkat bawah, dan kami perlu lebih berhati-hati jika ada orang di tingkat bawah seperti tukang cuci. Saya menerangkan semua ini dengan sabar kepada Encik Dussel tetapi saya agak terkejut melihat bagaimana dia agak susah mengingatinya. Dia akan bertanya dua kali untuk setiap perkara tetapi dia masih gagal mengingatinya.
Mungkin dia keliru dengan perubahan yang serta-merta dan lambat laun dia pasti akan terbiasa. Apapun, semuanya dalam keadaan baik.
Encik Dussel banyak bercerita tentang dunia luar yang begitu kami rindui. Dia ada berita sedih. Ramai sahabat dan kenalan kami menerima nasib buruk. Malam demi malam, kenderaan-kenderaan tentera yang berwarna hijau berlegar di jalanan. Mereka akan mengetuk setiap pintu rumah dan bertanya samada ada orang Yahudi tinggal di situ. Jika ada, satu keluarga akan di bawa pergi. Jika tiada, mereka akan bergerak ke rumah seterusnya. Adalah mustahil untuk melarikan diri melainkan jika kamu bersembunyi. Biasanya mereka akan membawa senarai dan akan mengetuk pintu rumah yang mereka percaya ada ramai Yahudi tinggal di situ. Mereka biasanya akan menawarkan wang hadiah yang besar mengikut kepala kepada sesiapa yang boleh memberikan maklumat tentang orang Yahudi. Ia seperti memburu hamba seperti zaman dahulu kala. Saya tidak bermaksud untuk memandang remeh tentang perkara ini kerana ia terlalu tragis. Pada waktu malam, ketika hari gelap saya selalu melihat barisan manusia yang baik dan naif, diiringi oleh anak-anak kecil yang sedang menangis berjalan tanpa henti atas arahan askar-askar yang akan membuli dan memukul mereka sehingga mereka hampir rebah. Tiada siapa yang terkecuali. Yang sakit, yang tua, kanak-kanak, bayi, wanita mengandung; semua mereka berjalan menuju kematian mereka.
Kami sangat bernasib baik berada di sini, jauh dari segala huru-hara. Kami sudah tentunya tidak perlu berfikir tentang semua penderitaan tersebut jika kami tidak bimbang tentang orang-orang yang kami sayangi dan tidak mampu bantu. Saya rasa begitu bersalah tidur di katil yang empuk ketika sahabat-sahabat saya jatuh rebah akibat keletihan atau dipukul.
Saya berasa begitu takut apabila memikirkan sahabat-sahabat saya yang kini hanya mengharapkan belas kasihan daripada manusia-manusia yang paling kejam yang pernah wujud di muka bumi ini.
Mereka menderita hanya kerena mereka dilahirkan sebagai Yahudi.
Yang benar,
Anne.
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.