JUMAAT, 20 NOVEMBER, 1942
Kehadapan Kitty,
Kami mati akal. Sehingga sekarang tidak banyak berita tentang Yahudi yang kami terima di sini, dan kami berasa adalah lebih baik kami terus cuba berfikiran positif. Dahulu Miep akan memberitahu kami sekali-sekala tentang apa yang berlaku kepada seorang sahabat kami yang mana ia akan membuatkan Ibu serta Puan van Daan akan mula menangis. jadi dia memutuskan untuk tidak bercerita lagi. Tetapi kami menghujani Encik Dussel dengan pelbagai soalan dan kisah yang terpaksa ceritakan memang menggerunkan sehingga sukar kami untuk membuangnya dari fikiran kami. Mungkin kami akan kembali seperti sedia kala selepas cerita tersebut luput dari ingatan kami. Ia tidak akan memberi apa-apa kebaikan kepada sesiapa pun jika kami terus bermuram. Apa gunanya kami menukar Bilik Rahsia ini kepada Bilik yang sedih?
Tidak kira apa pun yang saya lakukan, saya memang tidak boleh berhenti berfikir tentang mereka yang telah tiada. Apabila saya ketawa, saya akan serta-merta berasa malu kerana berasa gembira. Tetapi adakah saya perlu bersedih sepanjang hari? Tidak, saya tidak boleh berkeadaan begitu. Kesuraman ini akan berlalu.
Selain daripada kesedihan ini, terdapat juga perkara lain yang menambah kesedihan saya tetapi ia agak peribadi dan remeh jika dibandingkan dengan penderitaan yang baru saya ceritakan tadi. Tetapi saya tidak dapat menahan diri saya dari memberitahu kamu bahawa kebelakangan ini saya berasa terasing. Saya dikelilingi kesunyian yang hebat. Saya jarang memikirkannya kerana fikiran saya dipenuhi dengan sahabat-sahabat saya dan waktu-waktu gembira. Sekarang saya hanya memikirkan kedukaan ataupun diri saya sahaja. Ia mengambil sedikit masa sebelum saya akhirnya tersedar bahawa tidak kira bagaimana baiknya Ayah, ia masih tidak mampu menggantikan dunia yang saya hidup sebelum ini. Apabila membabitkan perasaan saya, Ibu dan Margot sudah tidak lagi wujud sejak sekian lama lagi.
Tetapi kenapa saya terus mengganggu kami dengan perkara bodoh ini? Kitty, saya tahu saya memang tidak tahu bersyukur tetapi kepala saya mula berputar apabila saya dimarahi untuk kesekian kalinya dan pada masa fikiran saya dipenuhi dengan segala penderitaan.
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.