Sabtu, 28 November, 1942
Ke hadapan Kitty,
Kami menggunakan eletrik dan bekalan makanan kami secara berlebihan. Hasilnya:
Penambahan perbelanjaan dan kemungkinan bekalan elektrik dipotong. Tiada elektrik selama 14 hari; menarik untuk difikirkan, bukan? Tetapi siapa tahu, mungkin ia tidak selama itu! Ia terlalu gelap untuk membaca selepas pukul empat setengah petang, jadi kami menggunakan masa tersebut dengan banyak aktiviti gila: bermain teka-teki, bersenam dalam gelap, bercakap dalam bahasa Inggeris atau Perancis, mengulas buku -- lama-kelamaan, semuanya terasa bosan. Semalam saya menemui aktiviti masa lapang baru: menggunakan teropong yang agak bagus untuk meneropong ke dalam bilik jiran-jiran kami yang bercahaya. Pada waktu siang, langsir kami tidak boleh dibuka walaupun seinci tetapi ia tidak mendatangkan apa-apa masalah jika tempat kami sangat gelap.
Saya tidak menyangka jiran-jiran kami sangat menarik. Saya ada melihat jiran kami makan malam, balik dari menonton wayang dan doktor gigi yang sedang merawat seorang nenek tua.
Encik Dussel yang dikatakan seorang yang menyukai dan disukai kanak-kanak telah bertukar menjadi seorang yang tegas dan suka berleter tentang adab. Memandangkan saya diberi keseronokan (!) untuk berkongsi bilik sempat saya dengan Tuanku ini, dan oleh kerana saya dikatakan mempunyai perangai paling teruk di sini, aktiviti meneropong saya itulah yang boleh mengelakkan saya daripada dileter sepanjang hari dan berpura-pura untuk tidak mendengar syarahan Encik Dussel. Jika Encik Dussel berleter, Ibu juga akan berleter kepada saya dan jika saya "bernasib baik," Puan van D. juga akan berleter kepada saya!
Sungguh, ia tidak mudah untuk hidup di dalam keluarga yang suka menyebok hal orang lain.
Pada waktu malam, ketika saya berbaring di katil sambil memikirkan dosa dan kesalahan kecil saya yang diperbesar-besarkan, saya akan menjadi bingung memikirkannya dan saya akan samada ketawa atau menangis bergantung kepada bagaimana saya rasa ketika itu. Kemudian saya akan tidur dengan keinginan pelik untuk menjadi orang lain ataupun menjadi orang yang berbeza berbanding diri saya sekarang atau mungkin juga berperangai berbeza dengan perangai saya sekarang.
Aduh, sekarang saya juga sudah memeningkan kamu. Maafkan saya tetapi saya tidak mahu menyembunyikan apa-apa terutamanya pada waktu-waktu getir sebegini sehinggakan membuang sehelai kertas juga sudah dikira sebagai dosa. Jadi satu-satunya nasihat yang saya boleh beri adalah jangan cuba untuk membaca semula apa yang saya tulis dan jangan cuba mencari puncanya kerana kamu pasti akan hilang arah!
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.