ISNIN, 7 DISEMBER, 1942
Kehadapan Kitty,
Hari Hanukkah dan Hari St. Nicholas hanya berbeza satu hari sahaja tahun ini. Kami tidaklah menyambut dengan meriah Hari Hanukkah. Kami sekadar bertukar beberapa hadiah kecil dan menyalakan lilin. Oleh kerana bekalan lilin terbatas, kami hanya menyalakannya selama sepuluh minit sahaja tetapi kami tidak kisah sangat asalkan kami dapat menyanyi. Kami juga tidak perlu risau tentang lampu menorah kerana Encik van Daan telah menghasilkannya menggunakan kayu.
Hari St. Nicholas pada hari sabtu lebih menyeronokkan. Ketika waktu makan malam, Bep dan Miep sibuk berbisik dengan Ayah sehinggakan kami merasakan mereka sedang merancang sesuatu. Telahan kami benar kerana pada pukul lapan malam kami semua di minta turun ke bawah dalam keadaan gelap gelita (saya berasa begitu takut dan saya rasa mahu kembali semula ke tingkat atas!) menuju ke sebuah bilik. Kami boleh menyalakan lampu di bilik ini kerana ia tidak mempunyai tingkap. Selepas menyalakan lampu, Ayah membuka kabinet besar.
"Wah, cantiknya!" kami berteriak.
Di sudut bilik terdapat satu bakul besar yang dihiasi dengan kertas yang berwarna warni dan satu topeng Black Peter.
Kami segera membawa bakul tersebut ke tingkat atas. Di dalam bakul itu terdapat hadiah-hadiah kecil untuk semua orang termasuk kertas puisi. Oleh kerana kamu sudah biasa dengan puisi yang biasa ditulis untuk satu sama lain ketika hari St. Nicholas, makan saya tidak akan menulisnya di sini untuk kamu.
Saya menerima hadiah patung Kewpie, Ayah menerima penghadang buku dan lain-lain lagi. Apapun, ia memang idea yang bernas kerana kami berlapan tidak pernah menyambut hari St. Nicholas sebelum ini. Jadi, ini merupakan masa yang sesuai untuk mula menyambutnya.
Yang benar,
Anne
Nota Kaki: Kami juga menyediakan hadiah untuk semua orang di tingkat bawah. Beberapa hadiah yang kami simpan dari waktu kami senang dahulu; tambahan lagi Miep dan Bep sentiasa bersyukur apabila menerima duit.
Hari ini kami mendengar bahawa bekas habuk rokok Encik van Daan, bingkai gambar Encik Dussel dan penghadang buku Ayah dibuat tidak lain dan tidak bukan oleh Encik Voskuijil. Saya memang kagum melihat orang yang begitu mahir menggunakan tangan mereka!
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.