AHAD, 13 DISEMBER 1942
Kehadapan Kitty,
Ketika ini saya sedang duduk dengan selesa di pejabat depan sambil melihat keluar melalui ruang kecil di celah langsir yang tebal. Suasana agak kelam tetapi cukup terang untuk membolehkan saya menulis.
Saya rasa sangat pelik melihat orang yang lalu lalang. Mereka berjalan seperti begitu tergesa-gesa sehingga mereka hampir tersadung kaki mereka sendiri. Mereka yang menunggang basikal pula mengayuh begitu laju sehinggakan sukar untuk saya meneka siapa yang sedang mengayuh basikal tersebut. Orang-orang di sekitar kawasan kejiranan kami tidaklah begitu menarik untuk dilihat terutamanya kanak-kanak yang sangat kotor sehinggakan kamu tidak akan ingin menyentuh mereka walaupun menggunakan galah sepanjang sepuluh kaki. Mereka adalah kanak-kanak jalanan sejati yang sentiasa berhingus. Saya langsung tidak faham apa yang mereka bualkan.
Tengahari semalam ketika saya dan Margot sedang mandi, saya berkata "Apa kata jika ambil pancing dan pancing kanak-kanak itu ketika mereka sedang berkeliaran semua satu persatu, rendamkan mereka dalam kolah, basuh dan jahit baju mereka dan kemudian..."
"Dan kemudian mereka akan kotor semula seperti biasa," balas Margot.
Sebenarnya saya hanya membebel. Ada banyak lagi benda untuk dilihat seperti kereta, bot dan hujan. Saya boleh mendengar bunyi trem dan kanak-kanak dan saya selesa di sini.
Fikiran kami jarang berubah sama seperti kehidupan kami di sini. Ia seperti roda iaitu dari subjek Yahudi kepada makanan, dari makanan kepada politik. Oh ya, bercakpa tentang Yahudi, semalam saya ternampak dua orang Yahudi ketika saya melihat keluar melalui langsir. Saya terasa seperti sedang melihat salah satu dari tujuh keajaiban dunia. Entah mengapa saya rasa ia begitu lucu seolah-olah saya yang menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa dan sekarang saya sedang melihat nasib malang mereka.
Di seberang tempat kami adalah rumah bot. Kapten bot tinggal di sana bersama isteri dan anak-anaknya. Dia memelihara seekor anjing kecil yang suka menyalak. Kami hanya mengenali anjing itu melalui salakan dan ekornya yang kami boleh lihat setiap kali ia berpusing-pusing di geladak bot. Ah sayangnya, hujan sudah mula turun dan kebanyakan orang terselindung di sebalik payung mereka. Apa yang saya boleh lihat hanyalah baju hujan dan bahagian belakang kepala yang ditutup dengan topi stokin. Sebenarnya saya tidak perlu langsung melihat kerana saya sudah boleh kenal perempuan tersebut dengan hanya sekali pandang: perempuan yang gemuk kerana memakan kentang, memakai kot merah atau hijau dan kasut yang lusuh, beg pasar yang tergantung di tangan mereka, dan muka yang suram atau lucu yang bergantung kepada angin suami mereka.
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.