Walaupun buku elektronik lebih popular pada zaman sekarang, ia tidak bermakna buku kulit lembut dilupakan begitu sahaja. Walaupun buku kulit lembut memang agak susah untuk dijaga, tetapi dengan menggunakan teknik dan cara yang betul, anda boleh memastikan buku kulit lembut anda berada dalam keadaan baik bertahun-tahun lamanya. Berikut adalah beberapa cara untuk menjaga buku kulit lembut anda.
Jaga Kebersihan
Pastikan anda dalam keadaan bersih ketika memegang atau membaca buku anda. Elakkan makan sambil membaca dan jangan gunakan air liur untuk membasahkan jari anda bagi menyelak mukasurat buku.
Pelihara Struktur Buku
Buku kulit lembut selalunya dicetak pada kertas murah untuk mengurangkan harganya. Ia tidak lasak seperti buku kulit keras. Untuk memastikan mukasuratnya terus kekal utuh, elakkan menanda buku dengan melipat mukasuratnya dan jangan biarkan buku anda terbuka jika anda tidak membacanya.
Simpan Di Tempat Yang Sesuai
Simpan buku anda di tempat yang kering dan mempunyai suhu yang konsisten. Mengikut kajian yang pernah dijalankan, buku patut disimpan di tempat yang bersuhu sekitar 50 - 65 darjah fahrenheit.
Elakkan Membaca Buku Yang Sama Berulang Kali
Anda mungkin gemar membaca buku kegemaran anda berulang kali. Tetapi ini sebenarnya boleh merosakkan buku. Langkah yang lebih baik adalah dengan membeli naskah yang lain yang lebih murah atau muat turun versi e-buku.
Letakkan Buku Dalam Sampul
Jika anda keluar dan membawa buku di dalam beg galas atau apa-apa beg yang lain, letakkan buku anda di dalam sampul plastik atau bekas khas. Jika anda meletakkannya di dalam beg begitu sahaja, kebarangkalian ianya rosak adalah amat tinggi kerana buku anda mungkin tercalar dan rosak.
Baiki Buku Yang Telah Rosak
Mungkin ada buku anda dalam keadaan yang teruk. Anda boleh melekatkan semula mukasurat-mukasurat yang telah tertanggal atau membaiki tulang buku yang telah rosak. Anda boleh juga menggantikan kulit buku lembut anda dengan kulit buku keras.
***
Sumber: Lifehacker