Paris memang terkenal dengan suasana romantik dan tokoh-tokoh sasteranya yang hebat. Jadi ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kenapa Hemingway, Fitzgerald, Pound, Stein, Sand, Hugo, Proust dan ramai lagi memilih Paris sebagai "ibu pejabat" mereka.
Walaupun identiti kota Paris sebagai kota sastera adalah dari masa lampau, masih banyak lagi peninggalan sejarah sasteranya yang boleh dilihat oleh para penggemar buku zaman kini. Berikut adalah beberapa contoh:
Bar dan Kafe
Dari Montparnasse hingga ke Mouffetard, Paris memang penuh dengan peninggalan sejarah sasteranya yang mana kebanyakannya berlangsung di kafe-kafe di kota Paris. Sebagai contoh, Le Select masih memiliki aura tempat berkumpul para seniman satu ketika dahulu. Tidak jauh dari sini pula terdapat Le Polidor yang pernah menjadi lokasi penggambaran film Midnight in Paris arahan Woody Allen.
Kedai Buku
Shakespeare and Company sudah sekian lama dikenali sebagai kedai buku tersohor di kota Paris. Jika anda mahu lari dari kedai buku yang sentiasa dipenuhi pengunjung ini, terdapat juga kedai buku terpakai Berkeley Books yang terletak tidak jauh dari Luxembourg Gardens. Anda boleh juga berkunjung ke kedai buku Abbey yang memiliki koleksi buku yang banyak dan sering menawarkan teh dan kek percuma untuk para pengunjungnya.
Tanah Perkuburan
Tanah perkuburan di Paris menjadi tempat persemadian ramai seniman tersohor. Cimetière Père Lachaise menjadi tempat persemadian Oscar Wilde, Gertrude Stein, Alice B. Toklas, Moliere, Balzac, Colette, Proust dan ramai lagi. Di Cimetière Montparnasse pula bersemadinya Simone de Beauvoir, Jean-Paul Sartre, Samuel Beckett, Marguerite Duras, Charles Baudelaire dan Guy de Maupassant dan jika anda ingin melakukan kunjungan hormat kepada Alexandre Dumas, anda boleh pergi ke Cimetière Montmarte.
Rumah Penulis
Kebanyakan rumah penulis di Paris sudahpun ditukar menjadi muzium. Sebagai contoh, Musée Victor Hugo merupakan rumah di mana Victor Hugo pernah tinggal selama 16 tahun. Anda juga boleh berkunjung ke Musée Carnavalet yang menyimpan banyak peninggalan daripada penulis tersohor Marcel Proust.
Acara Sastera
Paris masih lagi terus menjadi lokasi banyak acara-acara sastera. Sebagai contoh, hari Isnin dan Selasa selalunya diisi dengan acara bacaan puisi, cerita pendek dan persembahan muzik. Anda juga boleh mengunjungi Au Chat Noir untuk menikmati bacaan puisi. Pada hari khamis pula, anda boleh berkunjung ke Culture Rapide untuk acara Paris Lit Up Thursday.
***
Sumber: Paste Magazine