SELASA, 22 DISEMBER, 1942
Kehadapan Kitty,
Kami semua begitu teruja mendengar bahawa kami akan menerima lebihan mentega sebanyak suku paun sempena Krismas. Menurut suratkhabar, setiap orang layak mendapat setengah paun tetapi itu sudah tentunya hanya untuk mereka yang bernasib baik mendapat buku catuan daripada kerajaan dan bukan Yahudi yang sedang bersembunyi seperti kami hanya hanya mampu membeli empat dan bukannya lapan buku catuan dari pasaran gelap. Setiap dari kami akan menghasilkan sesuatu menggunakan mentega tersebut. Pagi tadi saya membuat dua kek dan sebekas biskut. Suasana agak sibuk di tingkat atas dan Ibu menyatakan saya tidak boleh mengulangkaji atau membaca selagi segala kerja-kerja rumah tidak disiapkan.
Puan van Daan sedang berbaring di atas katil sambil mengurut tulang rusuknya yang lebam. Dia berleter sepanjang hari dan tidak putus mengingatkan tentang kain pembalutnya yang perlu ditukar dan dia secara mudahnya tidak berpuashati tentang semua perkara. Saya pastinya bersyukur setelah dia pulih semula kerana saya akui dia seorang yang rajin dan kemas dan dia sebenarnya seorang yang agak periang selagi dia dalam keadaan yang sihat.
Seolah-olah tidak cukup saya mendengar "shh, shh" kerana saya sering membuat "bising" pada waktu siang, rakan sebilik saya juga mula sudah mula membuat perkara yang sama pada waktu malam. Menurutnya, saya tidak boleh langsung bergerak ketika tidur. Saya tidak peduli tentang tegurannya dan jika sekali lagi dia menyuruh saya diam, saya akan menyuruh dia diam juga.
Dia semakin lama semakin menjengkelkan dan berlagak. Saya langsung tidak nampak biskut yang dia janji akan berikan kepada saya kecuali pada minggu pertama. Hari Ahad adalah hari dia paling menjengkelkan kerana dia akan membuka lampu pada waktu subuh untuk bersenam selama sepuluh minit.
Pada saya seksaan yang saya lalui terasa seperti berjam-jam lamanya kerana kerusi yang saya gunakan untuk memanjangkan katil saya sentiasa bergoyang di bawah kepala saya yang sedang mengantuk. Selepas menutup senamanya dengan menghayun tangannya berulang kali, si Raja itu akan mula memakai pakaian. Seluar dalamnya digantung di tingkap, jadi dia perlu berjalan untuk mengambilnya dan kemudian berjalan semula melintasi katil saya. Tetapi tali lehernya di atas meja. Jadi sekali lagi dia menolak dan melanggar kerusi saya untuk mengambilnya.
Tetapi saya tidak patut menghabiskan masa kamu melayan cerita tentang orang tua yang menjengkelkan. Lagipun ia tidak akan mengubah apa-apa. Saya terpaksa membatalkan rancangan saya untuk membalas dendam dengan menanggalkan lampu, mengunci pintu dan memnyembunyikan pakaiannya demi menjaga keamanan di sini.
Oh, saya semakin matang! Kita perlu berfikiran matang tentang semua perkara di sini: belajar, mendengar, menjaga pertuturan, menolong satu sama lain, bersikap baik, bertimbang rasa dan apa lagi yang saya tidak tahu! Saya takut kewarasan saya yang memang pada asalnya begitu nipis tidak akan dihabiskan dengan cepat kerana jika tidak saya pasti akan jadi gila sebelum perang berakhir.
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.