RABU, 13 JANUARI, 1943
Kehadapan Kitty,
Pagi ini saya sering diganggu dan akibatnya saya tidak dapat menyudahkan semua kerja saya sudah mulakan.
Kami mempunyai aktiviti masa lapang yang baru iaitu mengisi bungkusan dengan serbuk perasa. Serbuk perasa itu adalah salah satu produk Gies & Co. tetapi Encik Kuglar tidak menjumpai sesiapa untuk melakukannya. Lagipun, lebih jimat jika kami yang melakukannya sendiri. Ia seperti kerja yang dilakukan banduan di dalam penjara. Ia sangat membosankan dan membuatkan kami pening dan ketawa berdekit-dekit.
Banyak perkara buruk berlaku di luar. Tidak kira siang atau malam, akan ada orang-orang lemah yang diheret keluar dari rumah mereka. Mereka hanya dibenarkan membawa satu beg dan sedikit wang. Walaupun mereka membawa barang yang sedikit, mereka tetap juga dirompak dalam perjalanan mereka. Keluarga dipisahkan: lelaki, perempuan dan kanak-kanak dipisahkan. Kanak-kanak yang kembali dari sekolah akan mendapati ibu-bapa mereka sudah tiada. Perempuan yang balik dari pasar akan mendapati rumah mereka sudah dikunci dan keluarga mereka sudah tiada. Orang Kristian di Belanda juga dalam ketakutan kerana anak-anak mereka di hantar ke Jerman. Semua orang dalam ketakutan. Setiap malam beratus kapal terbang melintasi ruang udara Belanda menuju ke bandar-bandar di Jerman untuk menjatuhkan bom-bom mereka di sana. Setiap jam beratus atau mungkin juga beribu orang dibunuh di Rusia dan Afrika. Tiada siapa yang mampu melarikan diri. Satu dunia sedang berperang dan walaupun tentera bersekutu dalam keadaan baik, penghujung perang masih tidak kelihatan.
Kami pula agak bernasib baik. Lebih bernasib baik berbanding berjuta orang yang lain. Keadaan di sini sunyi dan selamat dan kami menggunakan wang kami untuk membeli makanan. Kami begitu pentingkan diri kerana bercakap tentang "keadaan selepas perang" dan begitu menantikan untuk memakai baju dan kasut baru walaupun sepatutnya kami menyimpan setiap sen wang yang kami ada untuk membantu orang lain apabila perang tamat dan menyelamatkan apa sahaja yang kami mampu.
Kanak-kanak di kawasan kejiranan kami berkeliaran dengan memakai baju nipis dan kasut kayu. Mereka tidak memiliki kot, topi, stokin dan tiada siapa yang membantu mereka. Mereka menguyah lobak untuk meredakan kelaparan mereka dan mereka berjalan dari rumah mereka yang sejuk ke jalan-jalan yang sejuk dan ke kelas-kelas mereka yang lebih sejuk. Keadaan semakin bertambah buruk di Belanda sehinggakan kanak-kanak di jalanan akan menahan sesiapa sahaja yang mereka jumpa untuk meminta roti.
Saya boleh menghabiskan berjam bercerita kepada kamu tentang penderitaan akibat perang tetapi itu hanya membuatkan saya berasa lebih teruk. Apa yang kita boleh buat sekarang adalah menunggu dengan setenang yang boleh sehingga perang berakhir. Semua orang termasuk Yahudi dan Kristian sedang menunggu, satu dunia menunggu, dan ramai lagi sedang menunggu kematian.
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.