SABTU, 30 JANUARI, 1943
Kehadapan Kitty,
Saya rasa begitu marah tetapi saya tidak boleh menunjukkannya. Saya mahu menjerit, menghentakkan kaki, menggoncang badan Ibu, menangis dan macam-macam lagi atas sebab perkataan-perkataan kejam, pandangan yang menghina dan tuduhan-tuduhan yang Ibu lemparkan kepada saya setiap hari. Ia begitu merobek saya seperti anak panah yang menusuk laju hati saya dan sukar ditarik keluar. Saya juga mahu menjerit kepada Ibu, Margot, keluarga van Daan, Encik Dussel dan Ayah. "Biarkan saya seorang diri, beri saya sekurang-kurangnya satu malam di mana saya tidak perlu menangis sehingga tertidur dengan mata yang pedih dan kepala yang sakit. Biarkan saya lari dari segala-galanya, lari dari dunia ini!"
Tetapi saya tidak boleh melakukannya. Saya tidak boleh membiarkan mereka melihat keraguan saya atau luka-luka yang mereka toreh pada saya. Saya tidak boleh menerima simpati atau ejeken mereka. Ia akan membuatkan saya mahu menjerit lebih kuat.
Semua orang merasakan saya cuba berlagak apabila saya bercakap, pelik apabila saya diam, biadap apabila saya bercakap, licik apabila saya memberikan idea yang bernas, pemalas apabila saya letih, pentingkan diri sendiri apabila saya makan lebih dari yang sepatutnya, bodoh, penakut, berkira dan lain-lain lagi. Apa yang saya dengar sepanjang hari adalah bagaimana saya ini seorang yang meletihkan dan walaupun saya berpura-pura tidak kisah, pada hakikatnya saya memang kisah. Alangkah bagus jika saya boleh meminta Tuhan memberikan saya personaliti yang lain, personaliti yang tidak menjengkelkan orang lain.
Tetapi itu mustahil. Saya dilahirkan dengan karekter sebegini dan saya yakin saya bukanlah seorang yang jahat. Saya cuba sedaya-upaya memuaskan hati semua orang, lebih dari apa yang mereka sangka. Apabila saya berada di tingkat atas, saya berpura-pura berada dalam keadaan baik kerana saya tidak mahu mereka sedar tentang masalah saya.
Saya rasa beberapa saya menjawab selepas ibu menegur saya dengan teguran-teguran yang tidak masuk akal. "Saya tidak peduli apa yang ibu kata. Tolong jangan ganggu saya -- saya tidak boleh diselamatkan lagi." Sudah tentu Ibu akan memarahi saya kerana menjawab dan tidak akan bercakap dengan saya selama dua hari. Kemudian secara tiba-tiba semuanya dilupakan dan keadaan akan kembali seperti biasa dan Ibu akan melayan saya sama seperti orang lain.
Ia adalah mustahil untuk saya tersenyum pada satu hari dan menjadi racun pada hari yang lainnya. Saya memilih untuk berdiam diri dan menyimpan apa saja yang saya fikirkan dalam diri saya sendiri. Mungkin satu hari nanti saya akan melayan orang lain dengan penuh kebencian sepertimana mereka membenci saya, Ah, bagusnya jika saya boleh melakukannya.
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.