JUMAAT, 5 FEBRUARI, 1943
Kehadapan Kitty,
Walaupun sudah lama saya tidak menulis tentang pergaduhan yang berlaku di sini, tetapi keadaannya tidak banyak berubah. Dahulu Encik Dussel mengambil serius tentang pergaduhan yang berlaku di sini tetapi sekarang dia sudah terbiasa dengannya dan tidak lagi cuba menjadi pendamai.
Margot dan Peter bukanlah boleh dipanggil sebagai "orang muda"; mereka berdua sangat pendiam dan membosankan. Saya berada di samping mereka seperti kudis dan saya sering dileteri, "Margot dan Peter tidak berperangai sebegitu. Kenapa kamu tidak boleh berperangai seperti kakak kamu!" Saya begitu membencinya.
Saya mengaku saya langsung tidak teringin menjadi seperti Margot. Saya tidak sesuai menjadi seperti Margot kerana dia terlalu lemah semangat dan pendiam. Dia membiarkan dirinya dipengaruhi orang lain dan selalu mengalah apabila ditekan. Saya mahu lebih keberanian! Tetapi saya menyimpan sendiri keinginan sebegini. Mereka akan mentertawakan saya jika saya menggunakan alasan ini untuk mempertahankan diri saya.
Keadaan sentiasa tegang pada waktu makan. Nasib baik ketegangan ini kadang-kadang diseimbangi oleh "si penggemar sup", iaitu orang-orang dari pejabat yang naik ke atas untuk memakan sup pada waktu makan tengahari.
Tengahari tadi Encik van Daan berkata Margot makan terlalu sedikit. "Saya mengandaikan kamu hendak menjaga berat badan kamu," tambahnya dalam nada yang menyindir.
Ibu yang sentiasa mempertahankan Margot, bersuara dengan nada yang kuat, "aku dan tak boleh tahan lagi dengan perbualan kamu yang bodoh ini." Muka Puan van Daan bertukar menjadi merah menyala. Encik van Daan pula hanya memandang tanpa berkata apa-apa.
Dalam pada masa yang sama, kami selalu juga bergelak ketawa. Tidak berapa lama dahulu, Encik dan Puan van Daan menghiburkan kami dengan kisah-kisahnya yang lucu. Puan van Daan bercerita tentang kisah zaman mudanya, tentang bagaimana dia begitu rapat dengan ayahnya dan betapa liarnya dia. "Dan kamu tahu," sambungnya, "ayah saya beritahu jika ada lelaki bersikap biadap dengan saya, saya perlu kata, ingatlah tuan, saya seorang perempuan dan dia akan faham maksud saya." Kami akan ketawa seolah-olah dia menceritakan kisah yang lucu.
Begitu juga Peter. Walaupun selalunya dia seorang yang pendiam, kadang kala dia juga akan membuatkan kami ketawa. Dia memiliki nasib malang kerana gemar menggunakan perkataan asing tanpa memahami maksudnya. Pada satu tengahari, kami tidak boleh menggunakan tandas kerana ada orang luar datang ke pejabat. Kerana dia sudah tidak mampu bertahan, dia tetap menggunakan tandas tetapi tidak mencuci tandas selepas menggunakannya. Untuk memberi amaran kepada kami tentang bau yang ditinggalkannya, dia meletakkan satu tanda di pintu tandas: "RSVP -- Gas!" Sudah tentu apa yang dia maksudkan adalah "Bahaya -- gas!" tetapi dia merasakan "RSVP" nampak lebih elegen. Dia langsung tidak tahu bahawa maksud perkataan adalah "sila balas."
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.