Dunia penulisan memang diakui bukanlah dunia yang sentiasa tenang dan indah. Bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila ada penulis yang menerima kritikan negatif tetapi kadang-kadang penulis boleh hilang sabar juga terutamanya apabila ia datang dari pihak atau individu yang terlibat dalam dunia penulisan itu sendiri. Berikut adalah beberapa contoh perseteruan penulis yang agak terkenal.
Haruki Murakami vs. Penapisan
Apabila novel-novel Murakami ditarik dari kedai-kedai buku di China akibat krisis yang melanda negara Jepun dan China berkaitan Pulau Senkaku pada tahun 2012, Murakami meluahkan perasaannya melalui satu esei pendek di mana murakami menyatakan tentang kepentingan budaya antarabangsa yang luas dan membandingkan perseteruan di antara negara Jepun dan China sebagai perseteruan orang mabuk.
Zadie Smith vs. James Wood
Ketika Zadie Smith menerbitkan novel White Teeth pada tahun 2000, pengkritik James Wood menggunakan perkataan "hysterical realism" dan mengkritik hebat novel tulisan Smith dalam artikel beliau bertajuk "Tell Me How Does It Feel" dan menyatakan novel Smith adalah sebuah novel "syok sendiri". Zadie membalas semula kritikan Wood dengan artikel "This Is How It Feels To Me".
Gabriel Garcia Marquez vs. Mario Vargas Llosa
Perseteruan mereka berlangsung lebih tiga dekad. Kedua-dua mereka pada asalnya adalah sahabat baik namun Garcia menerima kejutan apabila Llosa menumbuk beliau selepas tayangan premier sebuah filem di kota Mexico. Mengikut ceritanya, Llosa berang dengan Marquez kerana penglibatan Marquez ketika Llosa dan isterinya sedang bergaduh di Barcelona.
Derek Walcott vs. V.S. Naipul
Kedua-dua mereka bolehlah dikatakan sebagai musuh sejati. V.S. Naipul pernah mengkritik Walcott di dalam bukunya dan Walcott membalas dengan sebuah puisi bertajuk "The Mongoose." Kedua-dua mereka ini pernah memenangi Hadiah Nobel Sastera. Jadi sudah tentu ia bukan pergaduhan yang calang-calang.
Ernest Hemingway vs. William Faulkner
Hemingway memang dikenali sebagai kaki gaduh. Apabila Faulkner ditanya tentang Hemingway, beliau menyatakan "dia tidak pernah menggunakan perkataan yang memerlukan pembacanya mencari maksud perkataan tersebut di dalam kamus." Hemingway membalas kritikan tersebut dengan menyatakan seorang penulis tidak perlu menggunakan perkataan yang susah untuk menyampaikan emosi.
***
Sumber: Book Riot