SABTU , 27 FEBRUARI, 1943
Kehadapan Kitty,
Pim menjangkakan pencerobohan akan berlaku pada bila-bila masa. Churchill menghidapi radang paru-paru tetapi semakin sembuh. Gandhi si pejuang kemerdekaan India sedang melakukan mogok lapar untuk kesekian kalinya.
Puan van Daan menyatakan bahawa dia seorang yang fatalistik. Tetapi siapa yang paling takut apabila mendengar bunyi tembakan? Tidak lain dan tidak bukan Petronella van Daan.
Jan membawa surat episkopal yang ditulis oleh paderi kepada ahli kariahnya. Ia sangat indah dan memberi inspirasi. "Orang-orang Belanda, bangunlah dan bertindak. Setiap kita perlu memilih senjata kita untuk berjuang demi kemerdekaan negara kita, rakyat kita dan agama kita! Berikan pertolongan dan sokongan kamu. Bertindak sekarang!" Inilah yang mereka sampaikan ketika mereka berkhutbah. Adakah ia memberi apa-apa kebaikan? Yang pasti ia sudah terlambat untuk menolong saudara-saudara Yahudi kami.
Cuba teka apa yang berlaku pada kami sekarang? Pemilik bangunan kami telah menjual bangunan ini tanpa memberitahu Encik Kugler dan Encik Kleiman. Pada satu pagi, pemilik baru bangunan datang bersama seorang arkitek untuk melihat bangunan ini. Nasib baik Encik Kleiman berada di pejabat. Dia membawa pemilik baru melihat bangunan ini tanpa menunjukkan Bilik Rahsia kami. Dia menyatakan dia tertinggal kunci di rumah dan pemilik baru bangunan tidak bertanya lebih lanjut. Sudah tentu ia akan mendatangkan masalah yang amat besar jika pemilik baru bangunan itu datang dan mahu melihat Bilik Rahsia ini!
Ayah mengosongkan satu fail kad untuk Margot dan saya dan mengisinya dengan kad-kad indeks yang kosong pada satu bahagiannya. Fail ini menjadi fail pembacaan kami di mana Margot dan saya perlu mencatatkan buku-buku yang kami sudah baca, penulisnya dan tarikh. Saya mempelajari dua perkataan baru: "brothel" dan "coquette."
Terdapat pembahagian baru mentega dan marjerin. Setiap orang akan mendapat bahagian mereka dalam pinggan mereka sendiri. Pembahagiannya sangat tidak adil. Keluarga van Daans yang biasanya menyediakan sarapan untuk semua orang mengambil bahagian yang lebih untuk diri mereka sendiri dan selalunya setengah kali ganda lebih dari kami. Ibu dan Ayah terlalu takut untuk mempersoalkannya dan ia agak mengecewakan kerana saya rasa orang-orang seperti itu perlu diberi pengajaran.
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.