KHAMIS, 4 MAC, 1943
Kehadapan Kitty,
Puan van Daan mendapat nama gelaran baru -- Kami mula memanggil dia dengan nama Puan Beaverbrook. Sudah tentu kamu tidak tahu mengapa. Jadi biar saya beritahu kamu. Seorang lelaki yang dikenali dengan nama Encik Beaverbrook sering bercakap di radio Inggeris tentang bagaimana lemahnya pengeboman yang dilakukan di Jerman. Puan van Daan yang sering mempunyai pendapat berbeza dengan semua orang termasuk Churchill dan berita-berita yang dilaporkan bersetuju seratus dengan Encik Beaverbrook. Jadi kami merasakan bahawa ia idea yang bagus jika dia berkahwin dengan Encik Beaverbrook dan oleh kerana dia suka dengan idea itu, kami memutuskan mulai hari ini kami akan memanggil Puan van Daan sebagai Puan Beaverbrook.
Kami mempunyai pekerja baru di gudang kerana pekerja lama dihantar ke Jerman. Memang malang untuk dia tetapi bagus untuk kami kerana pekerja baru sudah tentunya tidak biasa dengan bangunan ini. Kami masih berasa gerun dengan pekerja-pekerja di gudang.
Gandhi sudah mula makan semula.
Pasar gelap sedang membuat untung berlipat kali ganda. Jika kami mempunyai wang yang cukup untuk membeli barang mereka yang mempunyai harga tidak munasabah, sudah tentu kami akan mengisi perut kami dengan sesuka hati. Pembekal sayur kami membeli kentang dari "Wehrmacht" dan membawa guni kentang ke dalam pejabat peribadi. Oleh kerana dia mengesyaki kami bersembunyi di sini, dia akan datang pada waktu makan tengahari iaitu ketika semua pekerja gudang keluar untuk makan tengahari.
Begitu banyak lada hitam sedang di tumbuk sekarang sehinggakan kami akan terbesin setiap kali kami menarik nafas. Sesiapa yang naik ke atas pasti akan memberi salam dengan bersin. Puan van Daan berkata dia tidak akan turun ke tingkat bawah; dia akan sakit jika sekali lagi dia terhidu lada hitam.
Saya tidak rasa Ayah mempunyai perniagaan yang bagus. Dia hanya menghasilkan pektin dan lada hatim. Jika sudah terlibat dalam perniagaan makanan, kenapa tidak hasilkan gula-gula sahaja?
Saya dihujani dengan kata-kata yang begitu menyakitkan hati saya pagi tadi. Begitu banyak kata-kata kasar yang dilemparkan sehinggakan telinga saya berdengung dengan ayat "Anne sangat teruk" dan "van Daan sangat bagus." Seksaan Neraka!
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.