RABU, 10 MAC, 1943
Kehadapan Kitty,
Bekalan elektrik terputus malam tadi dan bunyi-bunyi tembakan di luar berterusan sehingga awal pagi. Saya masih lagi takut mendengar bunyi kapal terbang dan tembakan dan saya merangkak naik ke atas katil Ayah hampir setiap malam untuk menenangkan perasaan saya. Saya tahu ia kedengaran kebudak-budakan tapi tunggulah sehingga kamu melaluinya sendiri! Bunyi tembakan senapang sangat kuat sehingga kamu tidak boleh mendengar suara kamu sendiri. Si fatalis Puan Beaverbrook menangis dan berkata dengan suara yang begitu perlahan, "Oh, ia sangat teruk. Oh, bunyi senapang sangat kuat! -- yang mana apa yang dia ingin sampaikan sebenarnya adalah "Saya sangat takut."
Ia tidaklah begitu teruk jika ditemani dengan cahaya lilin berbanding berada di dalam gelap. Saya menggigil kerana saya sedang demam dan saya merayu kepada Ayah untuk menyalakan lilin. Dia berkeras untuk terus berada di dalam gelap. Tiba-tiba kami terdengar bunyi mesingan yang sepuluh kali lebih teruk dari senapang pembinasa kapal terbang. Ibu melompat turun dari katil dan menyalakan lilin walaupun Ayah melarangnya. Ibu menjawab "Biarlah, Anne bukannya seorang bekas askar!" Jawapan Ibu itu menamatkan segalanya!
Pernahkan saya beritahu kamu tentang apa lagi yang ditakuti oleh Puan van Daan? Saya rasa belum. Bagi memberi kamu berita terkini tentang Bilik Rahsia ini, saya patut memberitahu kamu tentangnya juga. Pada satu malam, Puan van Daan merasakan dia mendengar bunyi tapak kaki yang kuat di loteng. Dia mengejutkan suaminya kerana dia takut jika bunyi itu adalah bunyi tapak kaki perompak. Pada masa yang sama bunyi itu hilang dan apa yang suaminya boleh dengar adalah bunyi degupan jantung Puan van Daan yang sedang ketakutan. "Oh Putti!" teriak Puan van Daan (Putti adalah nama manja Encik van Daan.) "Mereka sudah tentu mengambil kesemua sosej dan kacang. Bagaimana pula dengan Peter? Oh, adakah kamu rasa Peter masih selamat di atas katilnya?"
"Saya pasti mereka tidak mengambil Peter. Jangan jadi bodoh, biar saya tidur semula!"
Mustahil. Puan van Daan terlalu takut untuk tidur semula.
Beberapa malam kemudian, keluarga van Daan dikejutkan dengan bunyi yang menakutkan. Peter naik ke loteng sambil membawa lampu suluh dan cuba kamu teka apa yang dia nampak sedang melarikan diri? Sekumpulan tikus besar!
Setelah kami tahu siapa pencuri yang sebenarnya, kami membiarkan Mouschi tidur di loteng dan kami tidak lagi dikunjungi tetamu yang tidak diundang itu lagi... sekurang-kurangnya pada waktu malam.
Beberapa senja yang lalu (lebih kurang pukul 7.30 dan masih cerah), Peter naik ke atas para untuk mengambil beberapa suratkhabar lama. Dia terpaksa berpegang kuat kepada pintu kolong untuk menuruni tangga. Dia berpegang tanpa melihat dan hampir jatuh kesakitan. Tanpa dia sedari, dia memegang seekor tikus besar yang menggigit tangannya. Ketika dia datang semula berjumpa kami, mukanya pucat lesi dan lututnya mengigil. Darah yang mengalir membasahi baju tidurnya. Memang patut dia mengigil kerana memegang tikus bukanlah perkara yang menyeronokkan terutamanya jika ia menggigit tangan kamu sehingga berdarah.
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.