JUMAAT, 12 MAC, 1943
Kehadapan Kitty,
Izinkan saya untuk memperkenalkan: Ibu Frank, pejuang kanak-kanak! Mentega lebih untuk kanak-kanak, masalah kanak-kanak masa kini -- kamu sebut saja apa-apa tentang kanak-kanak masa kini, dan Ibu akan mempertahankannya. Selepas berdebat beberapa ketika, pasti dia selalunya akan menang.
Salah satu botol jeruk lidah sudah rosak. Berpesta makananlah Mouschi dan Boche.
Kamu belum berkenalan dengan Boche lagi walaupun dia sebenarnya sudah ada di sini sebelum kami datang lagi. Dia adalah kucing rasmi di gudang dan pejabat dan memastikan tikus tidak keluar dari dalam bilik stor.
Namanya yang pelik dan politikal boleh dijelaskan dengan mudah. Pada mulanya, syarikat Gies & Co. mempunyai dua ekor kucing; satu di gudang dan satu di loteng. Kadang-kadang mereka bertemu dan pastinya pergaduhan akan berlaku. Sama seperti politik, kucing di gudang akan memulakan pergaduhan tetapi kucing di loteng akan menang. Jadi kucing di gudang diberikan nama Jerman iaitu "Boche" manakala kucing di loteng diberikan nama Inggeris iaitu "Tommy." Tidak berapa lama kemudian, Tommy dipindahkan ke tempat lain tetapi Boche masih ada untuk menghiburkan kami setiap kali kami turun ke tingkat bawah.
Kami sering memakan kacang sehingga saya tidak larat lagi memandangnya. Memikirkannya sudah cukup membuatkan saya rasa hendak muntah.
Roti tidak disediakan untuk makan malam.
Ayah menyatakan dia tidak berapa gembira. Matanya kelihatan sedih lagi. Kasihannya Ayah!
Saya tidak boleh berhenti membaca novel A Knock at the Door tulisan Ina Bakker Boudier. Kisah keluarganya yang ditulisnya sangat bagus tetapi bahagian tentang peperangan, penulis dan emansipasi wanita tidak berapa baik. Secara jujurnya, perkara-perkara begitu tidak berapa menarik perhatian saya.
Serangan bom sangat teruk di Jerman. Encik van Daan sedang menggurutu. Sebabnya: kehabisan bekalan rokok.
Perdebatan tentang samada kami patut mula makan makanan yang ditinkan memihak kepada kami.
Saya tidak boleh memakai kasut-kasut saya lagi kecuali kasut but ski yang tidak berapa sesuai dipakai di dalam rumah. Sepasang selipar jerami yang dibeli dengan harga 6.50 guilder yang dipakai dengan kerap hanya bertahan seminggu. Mungkin nanti Miep boleh membeli apa-apa kasut yang bagus di pasaran gelap.
Sekarang masa untuk saya menggunting rambut Ayah. Ayah berkata saya sangat bagus memotong rambut sehinggakan dia berkata dia tidak akan pergi ke kedai gunting lagi selepas perang tamat. Alangkah bagusnya jika saya tidak terlalu kerap melukakan telinganya!
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.