KHAMIS, 18 MAC, 1943
Kehadapan Kitty,
Turki menyertai peperangan. Berita yang mengujakan. Tak sabar menunggu laporan berita di radio.
JUMAAT, 19 MAC, 1943
Kehadapan Kitty,
Kegembiraan bertukar kepada kekecewaan dalam masa tidak sampai kurang satu jam. Turki belum lagi menyertai peperangan. Berita hanya melaporkan tentang seorang menteri kabinet yang menyatakan Turki mungkin tidak akan lagi menjadi negara berkecuali. Penjual suratkhabar di Dam Square berteriak "Turki di pihak England!" dan suratkhabarnya akan diambil dari tangannya. Beginilah bagaimana kami mendengar khabar angin yang mengujakan ini.
Not wang dua ribu Guilder tidak lagi boleh digunakan. Ianya satu tamparan kepada peniaga di pasaran gelap dan sudah tentu juga kepada mereka yang sedang bersembunyi dan yang menyembunyikan wang mereka. Untuk menukar not wang seribu guilder, kamu perlu boleh menyatakan dari mana kamu mendapat wang tersebut dan memberikan bukti. Ia masih boleh digunakan untuk membayar cukai tetapi hanya sehinggu minggu hadapan. Not wang lima ratus juga tidak lama lagi akan menjadi tidak laku. Syarikat Gies & Co masih mempunyai beribu guilder yang tidak diisytiharkan untuk digunakan bagi membayar cukai mereka pada tahun-tahun akan datang supaya semuanya kelihatan bersih.
Encik Dussel menerima gerudi gigi lama yang beroperasi menggunakan kaki. Ini bermakna gigi saya mungkin akan diperiksa secara terperinci tidak lama lagi.
Encik Dussel memang teruk apabila tiba bab mematuhi peraturan rumah. Dia bukan saja menulis surat kepada Charlotte, tetapi juga dia berbalas surat yang panjang dengan ramai lagi orang. Margot yang menjadi cikgu bahasa Belanda di sini menolong Encik Dussel untuk membetulkan ejaan pada surat-suratnya. Ayah melarang Encik Dussel untuk terus menulis surat dan melarang Margot membetulkan surat-surat tersebut tetapi saya rasa ianya untuk seketika sahaja.
Si Fuhrer sedang bercakap dengan askar-askar yang cedera. Kami mendengarnya di radio dan ia sangat memualkan. Soal jawabnya lebih kurang begini:
"Nama saya Heinrich Scheppel."
"Di mana kamu cedera?"
"Berdekatan Stalingrad."
"Apa kecederaan kamu?"
"Kedua belah kaki yang reput fros dan tulang retak di tangan kiri."
Ini adalah laporan sebenar tentang penipuan yang disiarkan di radio. Askar yang cedera seperti berbangga dengan kecederaan mereka -- lagi teruk lagi bagus. Seorang askar sangat teruja memikirkan dapat bersalaman dengan si Fuhrer (saya andaikan askar itu masih mempunyai tangan) sehinggakan dia tidak mampu mengeluarkan kata-kata.
Saya tercicir dan terpijak sabun Encik Dussel di lantai. Sekarang separuh dari sabun tersebut sudah hilang. Saya ada meminta Ayah untuk memberi gantirugi kepada Encik Dussel kerana dia hanya mendapat sebuku sabun setiap bulan.
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.