Membaca buku memang diakui satu aktiviti yang bagus. Malah perkara ini turut disokong oleh kajian-kajian akademik yang dilakukan oleh ramai ilmuan. Berikut adalah antara kebaikan-kebaikan membaca yang dibuktikan oleh sains.
Membaca menjadikan kita lebih bijak
Membaca buku yang bagus boleh membuka dunia ilmu pengetahuan yang baru terutamanya bagi kanak-kanak. Menurut satu kajian yang dibuat oleh Universiti California, buku kanak-kanak mendedahkan kanak-kanak kepada lebih 50 peratus perkataan berbanding televisyen. Pendedahan kepada perkataan-perkataan baru juga membuatkan kanak-kanak menjadi lebih bijak apabila mereka meningkat dewasa.
Membaca menjadikan otak kita lebih kuat
Sama seperti bersenam, membaca juga boleh meningkatkan daya kekuatan otak kita. Apabila kita meningkat dewasa, otak kita juga menjadi semakin kurang daya kekuatan untuk mengingati sesuatu perkara. Tetapi dengan membaca, kita boleh memperlahankan proses ini. Ia juga mengurangkan penurunan daya mental sebanyak 32 peratus.
Membaca membuatkan kita mempunyai lebih perasaan empati
Membaca karya-karya fiksyen membuatkan kita lebih berasa dekat dengan orang lain. Menurut kajian yang dijalankan oleh David Comer Kidd dan Emanuele Castano, ia boleh membantu kita memahami apa yang sedang difikirkan oleh orang lain dengan memahami emosi mereka.
Membaca boleh menghidari kita dari menghadapi penyakit nyanyuk
Membaca memberikan senaman kepada otak kita. Mengikut satu kajian, mereka yang melatih otak mereka dengan aktiviti membaca atau bermain catur mempunyai peluang yang lebih tipis untuk menghidapi penyakit nyanyuk berbanding mereka yang kurang melakukan aktiviti-aktiviti seperti ini.
Membaca boleh membantu kita untuk berehat
Satu kajian yang dijalankan oleh Universiti Sussex pada tahun 2009 menunjukkan bahawa membaca boleh mengurangkan tekanan sebanyak 68 peratus. Membaca boleh membuatkan kita melupakan sebentar rutin hidup seharian dan membawa kita menyusuri alam ciptaan si penulis.
***
Sumber: TIME