Perpustakaan adalah syurga bagi seorang pembaca. Apatah lagi apabila perpustakaan tersebut memiliki bukan sahaja koleksi buku yang menarik, malah senibina yang indah dan penuh dengan sejarah.
Berikut adalah antara perpustakaan yang wajib dilawati oleh seorang pembaca sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Bibliotheque Nationale de France, Perancis
Perpustakaan ini pernah memegang rekod sebagai perpustakaan yang menyimpan buku paling banyak di dunia. Kini bangunan perpustakaan ini telahpun ditambah dan dibesarkan tetapi bangunan asalnya yang dibina pada tahun 1868 masih tetap bangunan yang memiliki senibina paling cantik.
Casa de la Literatura Peruana, Peru
Perpustakaan ini pada asalnya adalah sebuah stesyen keretapi yang diubahsuai pada tahun 2009. Ia ditukar menjadi sebuah perpustakaan dengan harapan ianya akan menarik minat warga Peru untuk datang membaca tentang sejarah negara mereka.
Vancouver Public Library, Kanada
Perpustakaan ini dibina dengan mengambil inspirasi senibina Colosseum. Perpustakaan ini juga memiliki restoran, kedai runcit dan taman bumbung.
Wiblingen Monastery Library, Jerman
Perpustakaan ini memang unik dan mampu membuatkan sesiapa sahaja berasa kagum. Galeri di tingkat atasnya disokong dengan kolum-kolum marmar dan terdapat banyak patung dan fresco yang mampu menarik perhatian pengunjung.
Virgilio Barco Library, Colombia
Perpustakaan ini direka oleh arkitek terkenal Rogelio Salmona dan siap dibina pada tahun 2001. Perpustakaan ini menarik perhatian kerana ianya dibina di dalam taman disamping mempunyai ruang membaca yang mampu memuatkan sehingga 500 orang.
Seattle Central Library, Amerika
The Seattle Central Library merupakan sebuah bangunan 11 tingkat yang memilki banyak bilik membaca dan mengulangkaji. Perpustakaan ini merupakan salah satu cawangan Seattle Public Library.
Liyuan Library, China
Mengambil inspirasi dari persekitarannya, bahagian luar bangunan perpustakaan ini ditutupi dengan ranting-ranting kayu dan bahagian dalamnya pula mengandungi tiang yang dibina daripada kayu balak. Di luar perpustakaan ini terdapat tasik yang cantik.
George Peabody Library, Amerika
Ucapan terima kasih harus diberikan kepada dermawan George kerana tanpa sumbangan beliau, perpustakaan ini pasti tidak akan wujud. Perpustakaan ini setinggi lima tingkat dan bahagian bawahnya sesuai untuk sesiapa yang ingin membaca dan mengulangkaji tanpa sebarang gangguan.
Royal Library of Copenhagen, Denmark
Perpustakaan ini turut dikenali dengan nama "permata hitam" kerana senibina batu granit hitamnya dan juga sudut senibina yang agak pelik. Bangunan perpustakaan ini merupakan tambahan kepada bangunan National Library of Denmark.
Royal Library of the El Escorial Monastery, Sepanyol
Perpustakaan ini merupakan antara warisan dunia UNESCO. Lukisan fresco pada siling perpustakaan ini menggambarkan tujuh bentuk seni liberal seperti retorik, dialektik, muzik dan sebagainya.
Walker Library of the History of the Human Imagination, Amerika
Walker Library of the History of the Human Imagination ini berfungsi bukan sahaja sebagai sebuah perpustakaan tetapi juga sebuah muzium. Terletak di rumah peribadi Jay Walker di Ridgefield, Connecticut; ia menampilkan senibina unik dengan pelantar yang terapung serta pencahayaan yang menarik.
St Gallen Monastery Library, Switzerland
Perpustakaan ini juga merupakan antara salah satu warisan dunia UNESCO. Ia merupakan perpustakaan tertua di Switzerland dan menyimpan manuskrip yang dihasilkan ketika perpustakaan ini dibina.
Pedro Vásquez Library, Mexico
Perpustakaan ini dinamakan sempena ahli falsafah dan politik yang cukup terkenal di Mexico iaitu Pedro Vásquez. Pengunjung yang pertama kali datang mungkin akan berasa sedikit terkejut kerana terdapat tengkorak yang digantung di perpustakaan ini.
Codrington Library, England
Terletak di Oxford College di England, Codrington Library siap dibina pada tahun 1752 hasil sumbangan kewangan daripada Christopher Codrington. Codrington turut menderma koleksi bukunya yang berjumlah 12,000 buah.
Musashino Art Museum & Library, Jepun
Bahagian luar perpustakaan ini dibina sepenuhnya menggunakan kaca.Arkitek yang mereka perpustakaan ini iaitu Sou Fujimoto hanya menggunakan jambatan yang digunakan sebagai tempat membaca untuk memisahkan rak-rak buku di dalam perpustakaan ini.
Clementinum National Library, Republik Czech
Perpustakaan ini diasaskan pada tahun 1781 dan memiliki koleksi buku terbanyak di Republik Czech. Ia juga menyimpan koleksi peribadi Mozart dan Tycho de Brahe.
Library of Congress, Amerika
Perpustakaan ini memiliki antara koleksi buku terbanyak di dunia. Bangunan Thomas Jefferson yang menjadi sebahagian daripada perpustakaan ini dihias indah dengan kolum marmar, mural yang berwarni-warni serta ukiran-ukiran yang indah.
Admont Library, Austria
Berlatarbelakangkan banjaran Alps, perpustakaan ini adalah antara perpustakaan biara yang terbesar di dunia. Lukisan di siling perpustakaan menggambarkan pelbagai tahap perkembangan ilmu pengetahuan manusia.
State Library of New South Wales, Australia
Dibina pada tahun 1845, State Library of New South Wales di Sydney adalah perpustakaan yang tertua di Australia. Sayap Mitchell Wing perpustakaan ini adalah antara bahagian paling cantik di perpustakaan ini.
Library of the Hearst Castle, Amerika
Perpustakaan ini memang mempunyai hiasan dalaman yang kelihatan begitu mewah. Anda akan berasa seperti berada di istana lama Eropah apabila menjejakkan kaki masuk ke dalam perpustakaan ini.
Stuttgart City Library, Jerman
Stuttgart City Library adalah perpustakaan putih setinggi 9 tingkat. Berbentuk kiub, senibina perpustakaan ini diilhamkan daripada senibina Pantheon.
Royal Portuguese Reading Room, Brazil
Dibina pada kurun ke 19, ia menyimpan koleksi sastera yang antaranya dihasilkan pada kurun ke 16. Koleksi buku Portugisnya adalah antara koleksi buku Portugis terbanyak di dunia.
Alexandria Library, Mesir
Ia dibina sebagai penghormatan kepada perpustakaan asal yang dibina pada kurun ke 3 sebelum masihi. Perpustakaan ini menghadap laut Mediterranean dan dicahayai oleh cahaya matahari melalui bumbung kacanya.
Trinity College Dublin Library, Ireland
Perpustakaan ini menyimpan koleksi buku paling banyak di Ireland. Sudah tentunya ada antara buku-buku ini akan membawa anda kembali ke zaman lampau.
New York Public Library, Amerika
Perpustakaan ini memegang gelaran sebagai perpustakaan ketiga terbesar di dunia. Perpustakaan ini juga memegang gelaran sebagai struktur marmar terbesar di Amerika ketika ianya dibina.
Kanazawa Umimirai Library, Jepun
Perpustakaan ini dibina untuk kelihatan seperti sebuah hutan. Salah satu matlamat rekaan perpustakaan ini adalah untuk mewujudkan ruang membaca yang nyaman dan tenang.
***