SABTU, 27 MAC, 1943
Kehadapn Kitty,
Kami selesai dengan kursus tulisan pendek kami dan sekarang kami berusaha untuk meningkatkan lagi kelajuan kami menulis. Bijak sungguh kami! Biar saya cerita lebih lanjut kepada kamu tentang aktiviti "membunuh masa" saya (ini nama gelaran kepada kursus yang saya ambil kerana apa yang kami fikirkan setiap hari hanyalah bagaimana untuk mempercepatkan hari kami di sini supaya ia berakhir lebih pantas.) Saya suka topik mitologi terutamanya tentang dewa-dewa Greek dan Roman. Semua orang di sini merasakan saya hanya berpura-pura sahaja kerana mereka tidak pernah dengar seorang remaja menyukai mitologi. Jika begitu, saya mungkin remaja pertama yang menyukainya!
Encik van Daan mengalami selsema atau lebih spesifik, sakit tekak tetapi dia begitu bersungguh-sungguh untuk mengubatinya. Dia berkumur dengan menggunakan teh bunga, mengumam gula-gula herba dan menyapu minyak angin pada dada, hidung, gusi dan lidahnya. Lebih teruk lagi, anginnya sangat teruk!
Rauter, seorang Jerman yang berpengaruh, baru-baru ini memberikan syarahan. "Semua Yahudi perlu keluar dari semua jajahan Jerman sebelum 1 Julai. Daerah Utrecht akan dibersihkan dari orang-orang Yahudi (seolah-oleh mereka adalah lipas) di antara 1 April hingga 1 Mei dan daerah-daerah di Utara dan Selatan Belanda di antara 1 Mei hingga 1 Jun." Mereka-mereka yang malang ini akan di hantar ke rumah penyembelihan seperti sekumpulan lembu yang sakit dan terbiar. Saya tidak mahu bercakap lagi tentangnya. Membayangkannya sahaja sudah cukup memberikan saya mimpi buruk!
Satu berita baik yang kami terima adalah Pejabat Buruh dibakar dengan sengaja oleh pensabotaj. Beberapa hari kemudian pejabat Kerani Daerah turut dibakar. Lelaki-lelaki yang menyamar sebagai polis Jerman mengikat dan menutup mulut pengawal-pengawal pejabat di situ dan berjaya memusnahkan beberapa dokumen penting.
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.