KHAMIS, 1 APRIL, 1943
Kehadapan Kitty,
Saya tiada perasaan untuk bergurau senda (lihat tarikh hari ini).
Dalam hal yang berbeza, saya rasa hari ini saya boleh menggunakan pepatah "nasib malang tidak pernah datang sendirian." Pertamanya, semalam Encik Kleiman si penyeri kami mengalami sakit perut lagi dan perlu berehat sekurang-kurangnya tiga minggu. Saya perlu nyatakan kebelakangan ini sakit perutnya memang agak mengganggu Encik Kleiman dan tiada apa yang boleh mengubatinya. Bep pula mengalami selsema. Ketiganya, minggu hadapan Encik Voskuijl perlu ke hospital. Dia mungkin mengalami ulser dan perlu menjalani pembedahan. Keempat, pengurus-pengurus Pomosin Industries datang dari Frankfurt untuk berbincang tentang penghantaran baru Opekta. Ayah telah menerangkan perkara-perkara penting kepada Encik Kleiman tetapi masa tidak cukup memberikan penerangan panjang lebar kepada Encik Kugler.
Para pengurus tersebut sampai dari Frankfurt dan Ayah begitu gemuruh tentang apakah hasil perbincangan tersebut. "Kalaulah Saya boleh berada bersama mereka, kalaulah saya berada di tingkat bawah," ujarnya.
"Pergi tekap telinga kamu di lantai. Mereka akan di bawa ke pejabat peribadi dan kamu mendengar segalanya."
Muka ayah kembali bersinar, dan pagi semalam jam lebih kurang sepuluh tiga puluh pagi, Ayah dan Margot (mereka berdua memiliki telinga yang lebih bagus) menekap telinga mereka di lantai. Perbincangan tersebut masih belum selesai walaupun hari sudah tengahari tetapi Ayah tidak berminat lagi mendengarnya. Dia berasa sangat tidak selesa berbaring sambil menekap telinganya di lantai untuk berjam-jam lamanya. Pada jam lebih kurang dua tiga puluh petang, kami mendengar suara di ruang tamu bawah dan saya mengambil tempat Ayah sambil Margot menemani saya. Perbualan mereka sangat panjang dan membosankan sehingga saya tertidur di lantai yang sejuk dan keras itu. Margot tidak berani menggerakkan saya kerana dia takut mereka akan mendengar kami dan sudah tentu dia tidak akan menjerit. Saya tidur nyenyak selama lebih kurang setengah jam sebelum bangun secara mengejut dan terlupa setiap perkara penting tentang perbualan yang mereka bincangkan.
Nasib baik Margot mendengar dengan lebih teliti.
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.