JUMAAT, 2 APRIL, 1943
Kehadapan Kitty,
Oh tidak. Satu lagi perkara ditambah ke dalam senarai dosa saya. Semalam ketika saya berbaring di atas katil sambil menunggu Ayah menidurkan saya dan membaca doa bersama saya, Ibu datang dan bertanya dengan lemah lembut kepada saya, "Anne, Ayah belum siap. Bagaimana kalau Ibu yang mendengar doa kamu malam ini?"
"Tak mahu, Ibu," jawab saya.
Ibu bangun dan berdiri di sebelah katil saya untuk seketika sebelum berjalan perlahan menuju ke pintu. Tiba-tiba dia berpaling dengan muka yang kelihatan penuh dengan kesakitan sambil berkata, "Ibu tak mahu marah kamu. Ibu tak mampu buat kamu sayang kepada Ibu!" Air mata Ibu mengalir di pipinya ketika dia keluar dari bilik saya.
Saya terbaring kaku sambil memikirkan betapa kejamnya saya terhadap Ibu kerana menolak pelawaannya tetapi saya juga tahu saya tidak mampu memenuhi permintaannya. Saya tidak mampu menjadi seorang hipokrit dan berdoa dengan Ibu walaupun saya tidak mahukannya. Ia tidak boleh sebegitu. Saya rasa bersalah terhadap Ibu - sangat, sangat bersalah - kerana buat pertama kalinya dia kelihatan begitu terkesan dengan sikap saya. Saya melihat kesedihan yang amat sangat pada wajahnya ketika dia menyatakan dia tidak mampu membuat saya menyayanginya. Memang sukar menyatakan kebenaran tetapi kebenarannya adalah dia yang sebenarnya membenci saya. Jenaka-jenaka kasar dan bebelan Ibu tentang saya yang saya rasa bukan sesuatu yang kelakar yang sebenarnya membuatkan saya tidak berasa disayangi oleh Ibu. Sama seperti hati saya luluh setiap kali mendengar kata-kata kasarnya, begitulah juga hatinya luluh ketika menyedari bahawa tiada kasih-sayang antara saya dan Ibu.
Ibu menangis hampir sepanjang malam dan hampir tidak tidur. Ayah mengelak untuk bertentang mata dengan saya. Jika mata kami bertentang, Saya boleh membaca apa sebenarnya yang dia mahu katakan: "Kenapa kamu begitu kejam? Sampai hati kamu membuatkan Ibu sangat sedih!"
Semua orang mahukan saya meminta maaf tetapi ini bukanlah sesuatu yang saya perlu minta maaf kerana saya menyatakan perkara yang benar dan lambat-laun Ibu akan mengetahuinya juga. Saya tidak terkesan dengan tangisan Ibu dan pandangan mata Ayah kerana sekarang mereka merasai apa yang saya rasa selama ini. Saya hanya berasa kasihan kepada Ibu kerana dia perlu mempelajari tentang dirinya sendiri secara sendirian.
Untuk saya pula, saya akan terus berdiam dan memencilkan diri kerana saya tidak berhasrat untuk menjauhkan diri dari kebenaran kerana semakin lama saya menangguhkannya, semakin susah untuk mereka menerima perkara sebenar ketika mereka mendengarnya!
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.