SELASA, 27 APRIL, 1943
Kehadapan Kitty,
Rumah kami masih tidak tenang akibat perkelahian yang lalu. Semua orang masih marah antara satu sama lain: Ibu dan saya, Encik van Daan dan Ayah, Ibu dan Puan van Daan. Suasana yang bagus, bukan? Sekali lagi senarai kekurangan Anne menjadi perbualan wajib.
Pelawat dari Jerman kembali lagi pada hari Sabtu yang lepas. Mereka hanya balik pada jam enam petang. Kami semua duduk kaku di tingkat atas tanpa langsung berani untuk bergerak walaupun seinci. Jika tiada siapa bekerja di bangunan ini atau bangunan berdekatan, kamu boleh mendengar setiap langkah kaki di pejabat peribadi. Sekali lagi semut masuk ke dalam seluar saya kerana terpaksa duduk diam terlalu lama.
Encik Voskuijl dimasukkan ke hospital tetapi Encik Kleiman kembali semula ke pejabat. Pendarahan di perutnya pulih lebih cepat dari biasa. Dia memberitahu kami bahawa Pejabat Kerani Daerah agak teruk kerana bomba menyembur air ke seluruh bangunan dan bukannya sekadar menyembur air untuk memadamkan api. Ia sangat mengembirakan hati saya!
Hotel Carlton sudah dimusnahkan. Dua kapal terbang British lengkap dengan bom telah mengebom bumbung Kelab Pegawai Jerman. Seluruh penjuru Vijzelstraat dan Singel terbakar. Serangan udara terhadap bandar-bandar di Jerman semakin meningkat setiap hari. Sudah beberapa malam kami tidak dapat tidur nyenyak dan mata saya lebam kerana kekurangan tidur.
Makanan di sini sangat teruk. Kami hanya bersarapan dengan roti kosong dan kopi murah. Makanan tengahari kami sepanjang dua minggu pula hanyalah bayam atau salad dengan kentang yang mempunyai rasa reput dan manis. Jika kamu mahu menguruskan badan, Annex adalah tempatnya! Orang-orang di tingkat atas merungut keras tetapi kami tidak merasakannya ianya adalah satu tragedi.
Kesemua lelaki Belanda yang menyertai perang pada tahun 1940 telah dipanggil untuk bekerja di kem tahanan perang. Saya rasa mereka sedang mengambil langkah berjaga-jaga akibat pencerobohan yang sedang berlaku!
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.