SABTU, 1 MEI, 1943
Kehadapan Kitty,
Semalam adalah hari jadi Encik Dussel. Pada mulanya, dia berpura-pura seperti tidak mahu menyambutnya tetapi dia berubah kegirangan seperti kanak-kanak apabila Miep datang bersama satu beg membeli-belah besar yang diisi dengan pelbagai hadiah. Cinta hatinya 'Lotje' menghadiahkan telur, mentega, biskut, air lemon, roti, kognak, kek berperisa, bunga, limau, cokelat, buku dan kertas tulis. Dia menayangkan hadiahnya di atas meja selama beberapa hari. Mengada-ngada betul orang tua ini!
Kamu tidak boleh mengandaikan dia kelaparan. Kami menjumpai roti, keju, jem dan telur di dalam almarinya. Memang mengecewakan apabila mengetahui orang yang kami layan dengan baik dan kami selamatkan dari penderitaan tergamak secara senyap-senyap mengisi perutnya sendiri tanpa memberikan kami apa-apa walaupun setelah kami berkongsi segala apa yang kami ada dengannya! Tetapi apa yang lebih teruk pada pandangan kami adalah dia begitu susah untuk menghormati Encik Kleiman, Encik Voskuijl dan Ayah. Dia langsung tidak memberikan mereka apa-apa. Pada pandangan Encik Dussel, buah limau yang bagus untuk merawati perut Encik Kleiman yang sakit adalah lebih bagus untuk kebaikan perutnya sendiri.
Malam ini bunyi tembakan begitu galak sehinggakan saya terpaksa membungkus harta benda saya empat kali. Hari ini saya menggunakan beg bagasi Ayah untuk mengisi barang-barang yang saya perlukan jika kami perlu melarikan diri tetapi seperti yang Ibu katakan, "Ke mana kami mahu pergi?"
Seluruh Belanda dihukum kerana mogok para pekerja. Undang-undang tentera dikuatkuasakan dan satu kupon mentega akan ditarik dari setiap orang. Nakal sungguh.
Petang tadi saya mencuci rambut ibu dan ia bukannya satu tugas yang mudah. Kami terpaksa menggunakan sabun pencuci yang melekit kerana kami tiada shampoo. Tambahan lagi, Ibu menghadapi kesukaran untuk menyikat rambut kerana sikat keluarga kami hanya mempunyai sepuluh batang gigi sahaja sekarang.
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.