AHAD, 2 MEI, 1943
Apabila saya memikirkan tentang kehidupan kami di sini, saya biasanya akan mencapai kesimpulan bahawa hidup kami di sini adalah umpama syurga berbanding dengan para Yahudi yang tiada tempat bersembunyi. Pada masa yang sama, apabila kesemuanya kembali normal, saya pasti akan tertanya mengapa kami yang hidup selesa boleh menjadi manusia yang sangat teruk. Maksud saya teruk dari segi adab. Sebagai contoh, kain alas meja kami tidak pernah ditukar. Selepas digunakan begitu lama, ia begitu kotor. Saya mencuba sedaya upaya untuk mencucinya kerana kain alas meja itu dibeli sebelum kami bersembunyi tetapi ia adalah usaha yang sia-sia kerana ia mempunyai begitu banyak lubang.
Sepanjang musim sejuk, Keluarga van Daan tidur dengan menggunakan selimut flanel yang tidak boleh dibasuh kerana kami kekurangan sabun pencuci. Lagipun, ia perbuatan yang sia-sia kerana kualitinya sangat teruk. Ayah memakai seluar lusuh dan tali lehernya juga sudah kelihatan semakin usang.
Hari ini bengkung Ibu terputus dan tidak boleh dibaiki lagi manakala baju dalam Margot sudah menjadi terlalu kecil. Ibu dan Margot juga berkongsi tiga seluar dalam yang sama sepanjang musim sejuk. Seluar dalam saya juga sudah semakin mengecil dan ia tidak lagi menutupi perut saya. Kami boleh mengatasi semua kekurangan ini tetapi kadang-kadang saya tertanya: bagaiman kami yang mempunyai harta yang hampir kesemuanya sangat lama dan usang boleh mengharap dapat mengembalikan kedudukan kami selepas perang tamat nanti?
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.