AHAD, 2 MEI, 1943
Sikap Penduduk Annex Terhadap Perang
Encik. van Daan
Pada pandangan kami, orang tua yang dihormati ini mempunyai pandangan yang mendalam tentang politik. Apapun, dia menjangkakan kami akan berada di sini sehingga hujung tahun 1943. Ia masa yang sama tetapi kami masih boleh bertahan. Tetapi siapa yang boleh meyakinkan kami bahawa perang yang membawa seribu-satu penderitaan ini akan berakhir ketika itu? Siapa juga yang boleh meyakinkan bahawa tiada apa akan berlaku kepada kami dan pembantu kami sehingga hari itu datang? Tiada siapa! Atas sebab itu setiap hari di sini dipenuhi dengan tekanan. Harapan mencipta tekanan. Begitu juga ketakutan. Contohnya apabila kami mendengar bunyi di dalam atau di luar rumah, apabila kami mendengar bunyi tembakan di luar berhenti atau apabila kami membaca "Pengisytiharan" di dalam surat khabar. Kami takut kerana pembantu-pembantu kami juga akan terpaksa bersembunyi.
Kebelakangan ini semua orang bercakap tentang menyembunyikan diri. Kami tidak tahu berapa orang sebenarnya yang sedang bersembunyi. Sudah tentunya jumlahnya kecil berbanding populasi yang ada tetapi sudah tentu kami akan kagum mengetahui begitu ramai orang yang baik di Holland yang sanggup menyembunyikan orang Yahudi dan Kristian di dalam rumah mereka tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Bilangan orang yang memiliki kad identiti palsu juga begitu ramai.
Puan van Daan
Apabila si tua yang mengaku cantik (katanya sendiri) mendengar bahawa kad identiti palsu mudah diperolehi, dia serta-merta mencadangkan supaya kami semua mendapatkannya. Dia menyangkakan suaminya dan Ayah boleh mendapatkannya dengan mudah tanpa mengeluarkan wang.
Puan van Daan selalu bercakap tentang benda yang pelik. Tetapi ia tidak mengejutkan kerana dia pernah berkata, "apabila semua ini berakhir, saya akan membaptiskan diri saya", kemudian dia berkata, "sepanjang ingatan saya, saya sentiasa mengimpikan untuk ke Jerusalam. Saya hanya berasa selesa apabila berada di kalangan orang Yahudi!"
Pim seorang yang optimis tetapi dia sentiasa mempunyai alasan atas sikap optimisnya itu.
Encik Dussel mempunyai pandangannya sendiri dan kamu mencari nahas jika tidak bersetuju dengannya. Dalam dunia Alfred Dussel, kata-katanya adalah undang-undang tetapi Anne Frank berpandangan sebaliknya.
Apa yang orang lain di Annex fikirkan tentang perang tidak penting. Apabila tiba bab politik, hanya pandangan mereka berempat ini sahaja yang penting. Sebenarnya, hanya pandangan Ayah dan Encik van Daan yang penting tetapi Puan van Daan dan Encik Dussel juga mahu menyibuk.
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.