SELASA, 18 MEI, 1943
Kehadapan Kit,
Baru-baru ini saya menyaksikan pertarungan udara yang hebat di antara kapal terbang pejuan Jerman dan British. Malangnya, beberapa juruterbang tentera bersekutu terpaksa terjun dari kapal terbang pejuang mereka yang terbakar. Pembekal susu kami yang tinggal di Halfweg melihat empat orang berbangsa Kanada duduk di tepi jalan yang fasih berbahasa Belanda. Dia bertanya samada pembekal susu kami mempunyai pemetik api untuk membakar rokok mereka dan memberitahu bahawa pada asalnya kru mereka seramai enam orang. Juruterbang mereka mati terbakar manakala kru kelima menyembunyikan diri. Pasukan polis Jerman datang untuk menahan mereka yang kesemua dalam keadaan sihat. Bagaimana agaknya mereka masih boleh berfikiran waras selepas terjun keluar dari kapal terbang pejuang yang terbakar?
Walaupun cuaca sangat panas, kami masih perlu menghidupkan api setiap hari untuk membakar kulit sayur dan sampah. Kami tidak boleh membuangnya di dalam tong sampah kerana pekerja di gudang mungkin akan menemuinya. Satu silap langkah dan kami semua akan menerima padahnya!
Kesemua pelajar kolej diminta untuk menandatangani kenyataan rasmi untuk menyatakan mereka "bersimpati dengan Jerman dan menyokong Orde Baru." Lapan puluh peratus tidak bersetuju tetapi akibatnya sangat teruk. Mana-mana pelajar yang enggan menandatangani kenyataan tersebut akan di hantar ke kem buruh paksa. Apa yang anak-anak muda kami boleh lakukan untuk negara jika mereka dipaksa menjadi buruh dan melakukan kerja-kerja berat?
Malam selamam bunyi tembakan begitu kuat sehinggakan Ibu terpaksa menutup tingkap. Saya ketika itu berada di atas katil Ayah. Tiba-tiba, kami mendengar Puan van Daan seperti melompat betul-betul di atas kepala kami seolah-olah dia digigit oleh Mouschi. Ini diikuti dengan bunyi letupan yang kuat seolah-olah bom meletup di tepi katil kami. "Lampu! Lampu!" jerit saya.
Ayah menghidupkan lampu. Saya menyangkakan bilik kami akan terbakar serta-merta. Tetapi tiada apa yang berlaku. Kami segera naik ke tingkat atas untuk melihat apa yang berlaku. Encik dan Puan van Daan melihat cahaya merah melalui tingkap dan menyangkakan terdapat api yang sedang marak berdekatan. Pada masa yang sama, Puan van Daan menyangkakan bangunan kami sedang terbakar. Puan van Daan berdiri di tepi katilnya dengan lutut yang menggigil ketika bunyi letupan kedengaran. Encik Dussel duduk di tingkat atas untuk menghisap rokok, Kami kembali semula ke katil. Tidak sampai lima belas minit kemudian, kami mendengar semula bunyi tembakan. Puan van Daan turun dari katilnya dan menuju ke bilik Encik Dussel untuk mencari tempat perlindungan memandangkan suaminya tidak memperdulikannya. Encik Dussel meyambut Puan van Daan sambil berkata "Mari tidur di katil aku wahai anakku!"
Kami semua ketawa terbahak-bahak sehinggakan bunyi tembakan di luar tidak lagi mengganggu kami. Ketakutan kami hilang serta-merta.
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.