AHAD, 13 JUN, 1943
Kehadapan Kitty,
Puisi yang Ayah cipta sempena hari lahir saya amat bagus untuk saya simpan sendiri.
Oleh kerana Ayah menulis puisi menggunakan bahasa Jerman, Margot menawarkan diri untuk menterjemahnya ke dalam bahasa Belanda. Cuba kamu nilai samada terjemahannya bagus. Ia bermula dengan ringkasan tentang perkara yang berlaku sepanjang tahun dan seterusnya bersambung:
Paling Bongsu di antara kami, tetapi bukan kecil lagi,
Hidup kamu mungkin mencabar, kerana tanggungjawab kami menjadi guru kamu yang kasar.
"Kami berpengalaman! Percayalah kepada Ayah!"
"Kami telah melalui segalanya.
Kami tahu selok-beloknya, kami tahu semuanya."
Dari dulu semuanya sama.
Kekurangan diri bukanlah apa-apa.
Tetapi kata-kata orang lain yang membebankan: Mencari salah senang dalam keadaan sekarang, tetapi ia tidak mudah untuk Ibu dan Ayah. Walau macam mana sekalipun mereka cuba berlaku adil, membuang sikap suka mencari salah adalah mustahil.
Kamu hidup di kalangan orang dewasa,
Apa yang kamu boleh buat hanyalah bertahan dengan bebelan mereka, ia sukar tetapi itulah hakikatnya.
Ia mungkin ubat yang pahit, tetapi ia perlu kamu telan supaya semuanya dalam keadaan aman.
Bulan-bulan yang berlalu di sini tidak semuanya sia-sia,
Kerana kamu bukan seorang yang suka membazir masa,
Kamu belajar dan membaca setiap hari, bersungguh-sungguh menghilangkan rasa bosan yang melanda diri.
Soalan yang lebih susah untuk dirungkai "Apakah pakaian yang hendak kamu pakai?
Saya tiada seluar dalam, pakaian saya semakin ketat, baju saya hanyalah kain nipis. Saya memang nampak teruk!
Untuk memakai kasut, saya perlu memotong hujungnya,
Oh tuhan, saya dilanda pelbagai derita!"
Margot mengalami masalah untuk menterjemah rima bahagian tentang makanan jadi saya tidak akan masukkannya di sini. Tetapi selain itu, tidakkah kamu rasa ia puisi yang bagus?
Dalam hal-hal yang lain, saya memang dimanjakan dan saya menerima begitu banyak hadiah yang menarik termasuk buku tebal tentang subjek kegemaran saya iaitu mitologi Greek dan Roman. Saya juga tidak boleh mengeluh tentang jumlah gula-gula yang ada kerana semua orang memberikan gula-gula yang mereka ada. Sebagai si Bongsu di Annex, saya menerima lebih dari yang sepatutnya.
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.