Tiada siapa yang boleh menafikan kebaikan membaca. Kajian sains yang dijalankan juga menunjukkan bahawa membaca adalah antara aktiviti yang bukan sahaja boleh memanafaatkan masa terluang anda, malah bagus untuk otak dan tubuh badan anda. Berikut adalah kelebihan tabiat membaca menurut sains terutamanya bagi mereka yang gemar membaca buku fizikal berbanding buku elektronik.
Ia menambahkan kepintaran
Menurut kajian yang dijalankan, kanak-kanak yang membaca buku didedahkan kepada lebih 50 peratus perkataan baru berbanding kanak-kanak yang menonton televisyen. Pendedahan kepada perkataan-perkataan baru ini bukan sahaja menambah kemahiran membaca, malah turut menambahkan kepintaran. Kanak-kanak yang mahir membaca sejak kecil juga dikatakan mempunyai kepintaran yang lebih apabila mereka dewasa.
Ia menguatkan otak anda
Membaca buku secara kerap bukan sahaja menjadikan anda lebih pintar, malah turut menguatkan otak anda. Membaca secara kerap sama seperti anda pergi bersenam atau berlari untuk menambahkan kekuatan otot anda.
Membaca menjadikan anda lebih bertimbang rasa
Bahan-bahan bacaan sastera akan membuatkan anda lebih memahami keadaan orang lain dan seterusnya membuatkan anda lebih bertimbang rasa dengan keadaan atau kehidupan anda dan tidak menjadikan anda seorang yang hanya memikirkan diri anda sendiri sahaja.
Menyelak mukasurat buku membantu memahami apa yang anda baca
Kajian sains menyatakan bahawa membaca buku tradisional mempunyai kelebihannya yang tersendiri berbanding membaca buku elektronik. Menyelak mukasurat buku dengan jari anda mampu memberi otak anda sedikit konteks dan seterusnya membantu memahami dengan lebih jelas apa yang anda sedang baca.
Membaca mampu mengelak penyakit nyanyuk
Membaca membuatkan otak anda bekerja dan ia adalah perkara yang bagus. Mereka yang gemar membaca atau bermain catur dikatakan mempunyai kemungkinan yang rendah untuk menjadi nyanyuk.